Sejarah berulang, Umno dan Pas bersatu ketika terdesak, berpecah apabila kuasa menjelma

Oleh DR AZRIE AZEH

Sejarah politik Melayu menyimpan satu paradoks besar apabila gagasan penyatuan ummah semakin kerap dilaungkan ketika kuasa politik berhadapan ancaman.

Namun, keadaan ini semakin memperlihatkan kegagalan kepimpinan membina kesepakatan yang mampu bertahan melampaui kepentingan parti dan kitaran pilihan raya.

Eksperimen penyatuan politik Umno-Pas bermula melalui pembentukan Kerajaan Campuran Pas-Perikatan pada 1 Januari 1973.

Kerjasama itu kemudiannya berkembang dalam Barisan Nasional yang ditubuhkan secara rasmi pada 1974 sebagai usaha memulihkan kestabilan politik selepas tragedi 13 Mei 1969.

Namun, kerjasama yang kelihatan kukuh itu akhirnya berhadapan krisis apabila pertentangan politik di Kelantan pada 1977 melibatkan kedudukan Menteri Besar Mohamed Nasir, kepimpinan Pas dan persaingan pengaruh Umno.

Krisis tersebut membawa kepada pengisytiharan darurat serta penyingkiran Pas daripada BN pada Disember tahun yang sama.

Pengalaman ini memberikan pengajaran bahawa kesamaan agama, identiti dan kepentingan politik tidak semestinya menghasilkan kesepakatan berkekalan apabila persoalan autonomi parti, legitimasi kepimpinan, pembahagian kuasa dan mekanisme penyelesaian konflik tidak ditangani secara adil.

Sepanjang 1980-an, persaingan Umno-Pas semakin diperkukuh oleh perbezaan pendekatan politik Islam, tafsiran terhadap kepentingan Melayu dan persaingan mendapatkan legitimasi masyarakat, sehingga pertentangan politik bukan lagi sekadar perebutan kuasa pemerintahan tetapi turut berkembang menjadi persaingan menentukan identiti dan arah perjuangan umat.

Kemunculan Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990 yang melibatkan Pas, Semangat 46, Berjasa dan Hamim memperlihatkan bahawa penyatuan politik Melayu-Islam boleh dibina melalui kerjasama strategik.

Sementara itu, hubungan Semangat 46 dengan DAP melalui Gagasan Rakyat menunjukkan bahawa realiti politik Malaysia turut memerlukan pendekatan kerjasama yang merentasi perbezaan ideologi.

Kekalahan BN dalam PRU14 pada 9 Mei 2018 merupakan titik perubahan bersejarah apabila gabungan yang memerintah negara sejak 1959 kehilangan kuasa Kerajaan Persekutuan, sekali gus mendorong Umno dan Pas menilai semula permusuhan politik yang telah berlangsung selama beberapa dekad.

Jajaran kerjasama

Pemeteraian Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019 di PWTC menjadi simbol kebangkitan semula kerjasama kedua-dua parti, dengan aspirasi memperkukuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, di samping menjanjikan tadbir urus baik, pembangunan inklusif dan keadilan sosial kepada seluruh rakyat.

Kekuatan Muafakat Nasional ketika itu bukan semata-mata terletak pada jumlah keahlian Umno dan Pas, tetapi pada keupayaannya mengubah persepsi bahawa musuh politik tradisional masih boleh duduk semeja, membina kepercayaan dan menawarkan alternatif pemerintahan melalui kesepakatan demokratik.

Walau bagaimanapun, Langkah Sheraton pada Februari 2020 mengubah landskap politik apabila pembentukan kerajaan Perikatan Nasional memperkenalkan jajaran kerjasama baharu yang melibatkan Bersatu, Pas, sebahagian wakil rakyat Umno dan parti-parti lain, sekali gus mewujudkan persoalan tentang kedudukan sebenar Muafakat Nasional dalam struktur kuasa yang sedang terbentuk.

Menariknya, Umno pada peringkat awal menyatakan pendirian untuk tidak menyertai PN secara rasmi dan mahu memperkukuh Muafakat Nasional, sedangkan Pas kemudiannya menerima penyertaan Bersatu dalam gagasan tersebut sebelum turut menyertai PN, memperlihatkan perbezaan strategi yang semakin merumitkan hubungan antara dua parti teras berkenaan.

Konsisten

Menjelang PRU15, persaingan pengagihan kerusi, pertentangan kepentingan dan ketidakselarasan strategi semakin melemahkan Muafakat Nasional.

Keputusan pilihan raya pada 2022 kemudiannya menyaksikan Umno menyertai Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan, manakala Pas dan Bersatu meneruskan perjuangan dalam blok pembangkang.

Rangkaian peristiwa sejak 1973 hingga pasca-PRU15 memperlihatkan satu pola politik yang konsisten, iaitu penyatuan sering dibina berdasarkan keperluan menghadapi ancaman bersama, tetapi menjadi rapuh apabila persoalan kepimpinan, pembahagian kerusi, penguasaan kerajaan dan kelangsungan kuasa mula menjadi pertimbangan utama.

Justeru, penyatuan ummah memerlukan tujuh pembaharuan strategik, iaitu piagam kerjasama dengan komitmen jelas, mekanisme penyelesaian pertikaian yang bebas, formula pembahagian kuasa yang telus serta demokrasi dalaman parti yang lebih matang.

Pembaharuan itu turut merangkumi kepimpinan berintegriti, agenda ekonomi rakyat yang boleh diukur serta komitmen mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan keharmonian masyarakat majmuk.

Akhirnya, masa depan politik Melayu-Islam tidak seharusnya diukur melalui jumlah parti yang berjaya dihimpunkan dalam satu gabungan, sebaliknya melalui keupayaan penyatuan itu melahirkan kepimpinan yang amanah, institusi yang adil, ekonomi yang berdaya tahan dan kehidupan rakyat yang lebih sejahtera.

Hal ini kerana ummah yang benar-benar bersatu bukanlah ummah yang tidak mempunyai perbezaan, tetapi ummah yang bijaksana mengurus perbezaan tanpa mengorbankan prinsip, maruah dan masa depan bersama.

BACA JUGA ‘Ayuh turun beramai-ramai’, Bang Mat seru jentera AMANAH, PH beri sokongan kepada calon