Elak lesap wang yang dikumpul puluhan tahun, MCMC dedah taktik baharu scammer yang semakin licik
Wang simpanan RM250,000 yang dikumpul selama berpuluh-puluh tahun bekerja lesap sekelip mata.
Itulah nasib malang seorang ibu yang baru bersara selepas terjerat dengan sindiket penipuan pelaburan dalam talian sehingga kehilangan wang persaraannya.
Kisah menyayat hati itu dikongsikan anak mangsa menerusi Threads menggunakan akaun @Yoursecretmeme_ pada Julai lalu.
Menurutnya, ibunya melakukan puluhan pemindahan wang secara berperingkat kepada pihak yang disangka menguruskan pelaburan, sebelum keluarga menyedari bahawa wanita berkenaan sebenarnya telah diperdaya sindiket penipuan.
Dalam satu kes penipuan dalam talian yang dilaporkan pada Januari lalu, seorang warga emas kehilangan hampir RM12,000 daripada simpanan Tabung Haji selepas tertarik dengan iklan jualan ikan segar di Facebook.
Tawaran penghantaran terus ke rumah dan pembayaran tunai ketika menerima barang pada mulanya kelihatan seperti urusan jual beli biasa.
Bagaimanapun, penjual terbabit kemudian mendakwa sistem pembayaran mengalami gangguan sebelum meminta mangsa memuat turun aplikasi dikenali sebagai Kerja Express menerusi pautan yang diberikan.
Menurut anak mangsa, tindakan itu menyebabkan telefon ibunya dieksploitasi sehingga berlaku tiga transaksi tidak dibenarkan melibatkan simpanan Tabung Haji yang dihubungkan dengan akaun bank.
Kedua-dua kejadian itu memperlihatkan bagaimana penipuan digital boleh mengakibatkan kerugian besar kepada pengguna, khususnya mereka yang menyimpan wang untuk persaraan dan keperluan keluarga.
Walaupun kes pertama melibatkan penipuan pelaburan dan kes kedua dikaitkan dengan aplikasi berbahaya, kedua-duanya menunjukkan bagaimana kepercayaan mangsa dieksploitasi oleh penjenayah.
Perubahan taktik
Ancaman sedemikian turut mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengesan perubahan taktik sindiket pancingan data atau phishing, khususnya melalui penggunaan aplikasi pemesejan lebih canggih.
Penjenayah kini tidak lagi bergantung kepada khidmat pesanan ringkas (SMS) semata-mata, sebaliknya meneroka saluran komunikasi lain untuk menjerat pengguna.
Timbalan Pengarah Telekomunikasi Fraud MCMC Selangor, Mohd Amirul Hakim Abdul Rahim pernah mendedahkan sindiket semakin beralih kepada Rich Communication Services (RCS) dan iMessage untuk menyebarkan pautan pancingan data.
Peralihan itu dikenal pasti selepas penguatkuasaan sekatan penghantaran hiperpautan melalui SMS oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Beliau berkata, pautan pancingan data turut disebarkan melalui aplikasi komunikasi popular seperti WhatsApp dan Telegram yang digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian.
Keadaan tersebut memperlihatkan bagaimana sindiket sentiasa menyesuaikan modus operandi apabila kawalan keselamatan terhadap sesuatu saluran komunikasi diperketat.
Sejak 1 September 2024, MCMC telah menguatkuasakan larangan terhadap kandungan tertentu dalam SMS, termasuk hiperpautan, permintaan maklumat peribadi dan nombor telefon untuk dihubungi semula.
Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko penyamaran pihak berkuasa, institusi kewangan atau organisasi tertentu yang sering digunakan untuk memperdaya pengguna.
Namun, penggunaan platform pemesejan alternatif membolehkan penjenayah terus menghantar pautan yang membawa pengguna ke laman sesawang palsu atau memujuk mereka memasang aplikasi tidak dipercayai.
Maklumat seperti kata laluan, butiran perbankan dan kod pengesahan boleh menjadi sasaran sekiranya mangsa mengikuti arahan yang diberikan tanpa membuat semakan.
Pautan penipuan
Lebih membimbangkan, MCMC pada 29 Julai lalu turut membongkar kegiatan sindiket yang menggunakan peralatan Stesen Pangkalan Palsu atau Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) untuk menghantar SMS penipuan.
Dalam operasi di Johor Bahru, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan selepas dikesan menggunakan kenderaan yang dilengkapi peralatan telekomunikasi berkenaan.
Peralatan tersebut berfungsi dengan memancarkan isyarat radio yang menyamar sebagai rangkaian penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi menghantar mesej mengandungi pautan penipuan.
Penemuan itu membuktikan ancaman scam bukan sekadar menggunakan akaun media sosial palsu, malah melibatkan penyalahgunaan teknologi komunikasi untuk mendekati mangsa.
Terbaharu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada 31 Oktober mengumumkan pelaksanaan inisiatif Parcel Shield bagi meningkatkan perlindungan pengguna daripada kegiatan penipuan penghantaran bungkusan.
Program itu merupakan hasil kerjasama Kementerian Komunikasi, MCMC dan syarikat kurier untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap taktik penipuan yang semakin berleluasa.
Antara modus operandi yang dikenal pasti ialah penghantaran mesej kononnya petugas kurier telah tiba di rumah tetapi gagal menyerahkan bungkusan kerana tiada penerima.
Mangsa kemudian diminta menekan pautan tertentu yang berpotensi membawa kepada laman berbahaya, cubaan mencuri maklumat atau tindakan lain yang boleh menjejaskan keselamatan akaun perbankan.
Keseriusan ancaman ini turut dapat dilihat melalui tindakan MCMC menurunkan sebanyak 170,633 kandungan dalam talian berkaitan penipuan, termasuk akaun palsu dan aktiviti penyamaran, setakat 15 Oktober lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah tersebut memperlihatkan keperluan penguatkuasaan berterusan dan kerjasama pelbagai pihak untuk melindungi pengguna daripada jenayah siber.
Malah, antara Februari hingga Ogos tahun ini, MCMC bersama pengendali telekomunikasi berjaya menyekat 101.66 juta panggilan berunsur penipuan atau penyamaran nombor menerusi inisiatif Inter Operator Spoofing Gateway.
Teo turut mengingatkan bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh penjenayah menjadikan aktiviti penyamaran dan penipuan dalam talian semakin canggih serta sukar dikenal pasti.
Perlindungan digital
Bagi memperkukuh usaha pencegahan, kerajaan menerusi Belanjawan 2027 turut mengumumkan perancangan pembangunan aplikasi mudah alih berasaskan AI oleh Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Aplikasi yang dirancang itu bertujuan membantu pengguna menyemak nombor telefon, akaun bank dan pautan mencurigakan sebelum melakukan transaksi kewangan, sekali gus menambah satu lagi lapisan perlindungan digital.
Dalam pada itu, pengguna dinasihatkan supaya tidak membuka pautan mencurigakan, memuat turun aplikasi daripada sumber tidak dikenali atau menyerahkan kata laluan serta kod pengesahan kepada mana-mana pihak.
Sebarang urusan melibatkan bank, penghantaran barang dan transaksi kewangan perlu disemak melalui laman sesawang atau aplikasi rasmi penyedia perkhidmatan berkenaan.
Sekiranya pengguna mendapati wang dalam akaun dipindahkan tanpa kebenaran atau menyedari diri telah diperdaya, mereka perlu segera menghubungi bank dan talian NSRC di nombor 997 yang beroperasi 24 jam sehari.
Tindakan pantas penting bagi membolehkan usaha menyekat transaksi, mengesan aliran wang serta penyelarasan siasatan bersama pihak berkuasa dilakukan, selain membuat laporan polis.
Hakikatnya, kecanggihan teknologi bukan sahaja memudahkan urusan kewangan, malah membuka ruang baharu kepada sindiket untuk mengeksploitasi kelemahan dan kepercayaan pengguna.