Dari Sidang Kemuncak ASEAN hingga SUKMA, NEXUS jadi ‘mata’ MCMC pantau kestabilan internet
Penganjuran acara mega seperti Sidang Kemuncak ASEAN, Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) serta Sukan Malaysia (SUKMA) memerlukan rangkaian komunikasi yang stabil bagi menampung kehadiran ribuan pengunjung.
Justeru, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh pemantauan menerusi platform MCMC NEXUS bagi memastikan masalah liputan dapat dikesan dan ditangani dengan lebih pantas.
Ketika ribuan delegasi, wartawan, atlet dan pengunjung menggunakan Internet secara serentak, rangkaian telekomunikasi berdepan peningkatan trafik yang boleh menyebabkan kesesakan serta kelembapan sambungan.
Pemantauan secara masa nyata membolehkan MCMC bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk mengenal pasti gangguan sebelum menjejaskan kelancaran sesuatu acara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ketika melancarkan MCMC NEXUS sebelum ini memaklumkan bahawa sistem itu telah digunakan untuk memantau kestabilan rangkaian sepanjang beberapa acara besar negara pada 2025.
Antaranya, termasuk LIMA 2025, Sidang Kemuncak ASEAN, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Semasa LIMA 2025 berlangsung di Langkawi, MCMC menubuhkan pusat pemantauan komunikasi di lokasi pameran bagi memastikan perkhidmatan Internet berada pada tahap memuaskan.
Ujian rangkaian
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut mengarahkan pemantauan dilakukan di lapangan, manakala penyedia telekomunikasi memasang peralatan tambahan untuk memperkukuh liputan.
Persediaan lebih menyeluruh turut dilaksanakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei 2025 apabila MCMC menyediakan 31 unit kemudahan 5G in a Box untuk menyokong pelbagai mesyuarat ASEAN.
Fahmi memaklumkan ujian rangkaian mencatat kelajuan antara 300 hingga 600 megabit sesaat (Mbps), malah beberapa lokasi di pusat media mencapai hampir satu gigabit sesaat (Gbps).
Keupayaan rangkaian itu penting kerana persidangan antarabangsa menghimpunkan delegasi asing, petugas keselamatan dan wartawan yang perlu menghantar laporan secara langsung ke seluruh dunia.

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober 2025, Fahmi turut meminta pengamal media segera melaporkan sebarang masalah capaian Internet supaya tindakan penambahbaikan dapat diselaraskan.
Selain persidangan antarabangsa, pemantauan NEXUS turut melibatkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 yang menyaksikan kehadiran orang ramai dalam jumlah besar.
Penggunaan Internet untuk siaran langsung, perkongsian video dan komunikasi sepanjang sambutan memerlukan kapasiti rangkaian yang mencukupi bagi mengurangkan risiko gangguan.
Tanpa gangguan besar
Keberkesanan pendekatan pemantauan berterusan itu sekali lagi diketengahkan semasa SUKMA Selangor 2026 apabila MCMC menjalankan operasi di 52 lokasi pertandingan.
Sebuah Pusat Pemantauan Rangkaian atau Network Monitoring Centre (NMC) turut diwujudkan di Sekretariat SUKMA bagi mengawasi liputan, kapasiti dan prestasi telekomunikasi sepanjang temasya berlangsung.
Rangkaian komunikasi semasa majlis pembukaan SUKMA di Shah Alam lalu berjaya menampung peningkatan penggunaan tanpa gangguan besar yang menjejaskan pengunjung.
Hampir 1,500 muat turun aplikasi NEXUS turut direkodkan dalam kalangan komuniti temasya, manakala kira-kira 200 sukarelawan membantu pemantauan rangkaian dan infrastruktur komunikasi.
Pendekatan sama diteruskan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada 16 September yang menghimpunkan lebih 5,000 tetamu dan petugas.
Bagi menyokong kelancaran acara, Telekom Malaysia meningkatkan kapasiti rangkaian kepada 2 Gbps berbanding permintaan awal 800 Mbps, selain penyediaan kemudahan akses tambahan oleh syarikat telekomunikasi.
Pada masa sama, MCMC NEXUS bukan sekadar platform yang digunakan ketika acara besar, sebaliknya turut memberi peluang kepada orang ramai memantau sendiri kualiti rangkaian di kawasan masing-masing.
Aplikasi tersebut membolehkan pengguna menjalankan ujian kelajuan muat turun, muat naik dan kestabilan sambungan bagi rangkaian 4G, 5G serta Wi-Fi.
Antara fungsi penting NEXUS ialah Route Survey untuk mengukur prestasi rangkaian sepanjang perjalanan dan Building Survey bagi menilai tahap liputan di dalam bangunan.
Maklumat yang dikumpulkan membantu MCMC mengenal pasti kawasan bermasalah, termasuk lokasi yang mengalami kelajuan rendah atau kesesakan akibat jumlah pengguna terlalu tinggi.
Sehingga pelancaran rasminya pada 31 Mac lalu, aplikasi berkenaan telah merekodkan 51,415 muat turun sejak diperkenalkan secara berperingkat pada Februari 2025.
Penyertaan pengguna turut membolehkan kira-kira 168 juta titik data prestasi rangkaian dikumpulkan di seluruh negara untuk membantu analisis kualiti perkhidmatan telekomunikasi.
Mengesan masalah
Menurut Teo, sistem amaran automatik NEXUS membolehkan penyedia perkhidmatan mengesan masalah liputan dengan lebih cepat, sebelum menjalankan siasatan dan menyediakan pelan penyelesaian.
Pendekatan berasaskan data itu membolehkan penambahbaikan infrastruktur dirancang mengikut keperluan sebenar, bukan semata-mata berdasarkan aduan pengguna atau pemeriksaan berkala.
Usaha MCMC memperkukuh pemantauan ketika acara mega membuktikan kepentingan infrastruktur komunikasi dalam menjayakan penganjuran bertaraf nasional dan antarabangsa.
Walaupun gangguan rangkaian tidak dapat dielakkan sepenuhnya, penggunaan NEXUS bersama pemantauan lapangan membolehkan masalah dikenal pasti lebih awal, sekali gus menyokong pengalaman Internet yang lebih stabil kepada pengunjung dan rakyat Malaysia.