Institusi pondok benteng terakhir tradisi Ilmu Islam, kerajaan tambah peruntukan RM200 juta

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan institusi pondok sebagai satu-satunya benteng yang tinggal dalam memelihara tradisi ilmu Islam di negara ini.

Beliau berkata, institusi itu sekian lama terabai dan daif, malah pernah berdepan pemotongan peruntukan sebelum ini.

“Dan pondok ini, yang saya selalu sebut bahawa, ini satu-satu benteng yang tinggal, tetapi memang terabai,” katanya.

Menurut Anwar, kerajaan Madani telah mengambil langkah menambah kembali peruntukan untuk institusi pondok, termasuk tambahan RM200 juta baru-baru ini.

Jelasnya, kerajaan sejak tiga tahun lalu sudah mengembalikan kemudahan kepada pondok secara perlahan-lahan.

Dalam masa sama, kerajaan turut membawa pendekatan baharu dengan kerjasama MDEC untuk memperkenalkan beberapa kurikulum tambahan termasuk pendidikan Kecerdasan Buatan (AI) di pondok-pondok.

Namun Anwar menegaskan, pengenalan kurikulum baharu itu tidak melibatkan campur tangan dalam manhaj pengajian pondok.

“Kita tidak langsung nak mempengaruhi apa dia manhaj tarbiahnya atau kurikulum. Itu ditentukan oleh tuan-tuan guru sendiri,” kata beliau.

Tambah beliau, cadangan penambahan itu bertujuan memastikan anak-anak yang dididik di pondok tidak ketinggalan dalam persaingan semasa.

“Tetapi kita usulkan supaya ditambah supaya anak-anak yang terdidik itu tidak ketinggalan dari segi persaingan dan pertarungan dengan zaman sekarang,” katanya.