‘Terima kasih PMX’, rakyat Kelantan tak sabar tengok hasil KB Sentral RM250 juta
“Sebagai anak Kelate, saya ucapkan terima kasih kepada PMX.” Itulah antara reaksi rakyat Kelantan di media sosial selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM250 juta bagi pembinaan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral).
Pengumuman itu mencetuskan pelbagai respons dalam kalangan rakyat, dengan ada yang menyatakan rasa syukur, manakala sebahagian lagi menyindir kelewatan projek yang sekian lama dinantikan rakyat negeri itu.
Pengguna Threads, sofianresali, secara terbuka merakamkan penghargaan kepada Anwar menerusi perkongsiannya yang mendapat perhatian ramai.
“Sebagai anak Kelate, saya ucapkan terima kasih kepada PMX @anwaribrahim_my kerana telah meluluskan RM250 juta untuk pembinaan Terminal Bas Bersepadu Kelantan, Kota Bharu Sentral,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, as_taheri545, melihat pembinaan terminal itu sebagai peluang untuk meningkatkan kemudahan awam di Kota Bharu, malah membayangkan perubahan yang bakal dinikmati rakyat apabila projek berkenaan siap.
“Bersyukurlah korang semua rakyat Kelantan. Dalam tempoh 5 tahun, bila terminal bas bersepadu ni siap Kelantan/KB khasnya bakal lebih moden dan maju daripada Melaka, Negeri Sembilan dan bandar-bandar lain,” tulisnya.
Pengguna a.ainasyuhada turut menyuarakan keterujaan terhadap perkembangan kemudahan awam di Kelantan, termasuk terminal bas yang bakal melengkapkan kemudahan pengangkutan di negeri itu.
“Untungnya Kelantan!! Airport KB dah cantik, ECRL now stesen bas pula fuhhh,” komennya.
Namun, di sebalik ucapan terima kasih dan harapan itu, terdapat juga pengguna yang mempersoalkan kemampuan kerajaan negeri Pas memastikan kemudahan asas dapat disediakan sehingga terpaksa bergantung kepada bantuan kerajaan Persekutuan.
“Stesen bas pun nok tunggu federal tolong, apo function kerajae negeri tahu,” tulisnya.
Seorang lagi penggunapula mengingatkan bahawa perkara paling penting bukan sekadar pengumuman peruntukan, sebaliknya memastikan terminal itu benar-benar siap selepas sekian lama dinantikan.
“Jom tengok bila terminal bas akan siap … atau tak siap jugak sebab duit habis,” tulisnya.