AGC fail rayuan kes kematian Zaharif, mahu pertuduhan bunuh dikembalikan terhadap pegawai kanan polis
Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan supaya pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dikembalikan terhadap seorang pegawai kanan polis yang menyebabkan kematian seorang pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie tiga tahun lepas.
Rayuan itu juga bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan terhadap pegawai polis berkenaan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, keputusan memfailkan rayuan itu dibuat selepas beliau berbincang dengan Ketua Bahagian Pendakwaan AGC, Datuk Masri Mohd Daud serta Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC bagi meneliti pelbagai aspek kes berkenaan.
Beliau berkata, rayuan itu telah difailkan pada minggu lepas, bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan hujahan berhubung keputusan mahkamah berkenaan.
“Kita nak meneliti segala aspek kes inilah. Sama ada perlu kita hujah nanti sama ada perlu dikembalikan kepada pertuduhan asal iaitu membunuh, ataupun apa-apa jua perkara yang sesuai dengan keadaan kes serta keputusan kes yang tersebut,” katanya memetik Bernama hari ini.
Mengulas sama ada AGC mengenal pasti sebarang kelompangan atau kekurangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi itu, Mohd Dusuki berkata, pihaknya belum dapat memberikan sebarang ulasan kerana masih belum menerima alasan penghakiman penuh.
Beliau berkata, terlalu awal untuk AGC membuat sebarang penilaian terhadap keputusan berkenaan, sebelum meneliti alasan penghakiman tersebut.
“Alasan penghakiman penuh belum lagi diterima. Jadi agak terlalu awal untuk kami beri apa-apa ulasan berkait dengan sama ada ada kelompangan ataupun ada kekurangan dalam keputusan kes yang dicapai oleh Mahkamah Tinggi tersebut,” katanya.
28 Oktober lepas, pegawai berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi, tiga tahun lepas.
Pengakuan Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak, 47, direkodkan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet pada akhir kes pendakwaan dan beliau memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 15 Disember 2023.
Lelaki itu juga diperintahkan membayar pampasan RM50,000 kepada bapa mangsa Muhd Zamrie Zainal Abidin, 58, atau dihukum penjara setahun, jika gagal berbuat demikian.