Dana inovasi RM30 juta untuk media, jangan pula wartawan jadi mangsa ‘kemajuan’ AI!
Dana Inovasi Media 2.0 bernilai RM30 juta disifatkan mampu membantu syarikat media tempatan menghadapi cabaran digital, namun kerajaan diingatkan supaya memastikan bantuan itu tidak berakhir dengan pemberhentian pekerja.
Transformasi digital, kemunculan kecerdasan buatan (AI) dan perubahan corak masyarakat mendapatkan berita kini meletakkan industri media tempatan berdepan tekanan besar untuk terus bertahan, sekali gus menjadikan sokongan kewangan kerajaan sebagai antara langkah penting memastikan kelangsungan sektor berkenaan.
Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM), Tan Sri Nallini Pathmanathan berkata, pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0 merupakan inisiatif tepat pada masanya bagi memperkukuh daya saing syarikat media tempatan, meningkatkan keupayaan teknologi dan memastikan industri mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap digital.
Sehubungan itu, beliau menyokong peringatan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil supaya majikan yang menerima dana berkenaan tidak memberhentikan pekerja sewenang-wenangnya. Menurut Nallini, perkembangan teknologi tidak seharusnya menyebabkan pengamal media kehilangan perlindungan dan pengiktirafan terhadap hasil kerja mereka.
“Selari dengan perkembangan teknologi AI dan digital, industri media perlu terus memelihara serta melindungi bakat dan tenaga kerja yang membentuk industri itu sendiri.
“Contohnya, hasil kerja pengamal media digunakan oleh sistem AI tetapi wartawan yang menghasilkan kandungan itu tidak diberikan kredit sewajarnya. Oleh itu, peranan manusiawi wartawan tetap penting dalam menyampaikan berita yang sahih,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Media Chinese International Limited (MCIL) Malaysia, Datuk Kuik Cheng Kang berkata, penyediaan dana tersebut membuktikan komitmen kerajaan membantu syarikat media merangka hala tuju baharu, selain melindungi hak dan kebajikan pengamal media.
Bagaimanapun, beliau mengakui media arus perdana kini berdepan fasa transformasi yang mencabar apabila pendapatan daripada perniagaan digital masih belum mampu menampung keseluruhan kos operasi, termasuk penyelenggaraan bilik berita, pengurusan editorial profesional dan rangkaian liputan di seluruh negara.
“Hakikatnya, tanpa pengurangan tenaga kerja secara besar-besaran, amat sukar bagi sesebuah organisasi media untuk terus bertahan dengan hanya bergantung pada pendapatan digital. Kenyataan ini mungkin kedengaran pahit, tetapi inilah realiti yang perlu dihadapi oleh pengusaha media.
“Sudah tentu kita tidak mahu berlaku pemberhentian pekerja, apatah lagi melihat pengamal media kehilangan mata pencarian akibat transformasi industri, namun jika organisasi itu sendiri gagal untuk terus beroperasi secara mampan bagaimana kebajikan pekerjanya dapat terus dilindungi,” katanya.
Justeru, Kuik mencadangkan kerajaan turut memikirkan mekanisme membantu syarikat media membangunkan model perniagaan yang mampan supaya mereka mampu mengekalkan bakat terbaik dan terus menghasilkan kewartawanan bertanggungjawab.
“Zaman boleh mengubah cara media menjalankan perniagaan dan teknologi boleh mengubah saluran berita, tetapi keperluan masyarakat terhadap maklumat yang benar, pertimbangan profesional serta fungsi media sebagai kuasa semak dan imbang tidak seharusnya terhakis,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarang Malaysia Tribune, Sharaimei Shaik Ahmedullah menyifatkan Dana Inovasi Media sebagai talian sokongan penting untuk memperkukuh operasi penerbitan digital dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja. Beliau berkata, Malaysia Tribune yang pernah menerima manfaat fasa pertama dana itu telah menggunakan pembiayaan berkenaan untuk meningkatkan kecekapan operasi portal serta memperkukuh daya saing platform digitalnya.
Menurutnya, dana berkenaan berpotensi meningkatkan keupayaan organisasi dari aspek teknologi, sumber manusia dan inovasi kandungan, sekali gus membantu syarikat media menghadapi persaingan yang semakin sengit. Beliau turut menyambut baik peringatan supaya penerima dana mengekalkan pekerja bagi memastikan kebajikan warga media tidak terjejas.
Jumaat lalu, Fahmi mengumumkan peruntukan RM30 juta menerusi Dana Inovasi Media 2.0 bagi memperkasa industri media tempatan, meliputi aspek pendigitalan, pembangunan bakat dan penerapan teknologi baharu termasuk AI.
Inisiatif itu merupakan kesinambungan Dana Inovasi Media yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
Dana Inovasi Media 2.0 menawarkan lima skop pembiayaan iaitu latihan pekerja media, perisian dan adaptasi teknologi, peralatan serta kemudahan sokongan, penyelidikan dan pembangunan kandungan, selain skop baharu bagi langganan perkhidmatan berita dan kandungan media.
Permohonan dana berkenaan dibuka mulai 1 November hingga 14 November menerusi laman sesawang rasmi Dana Inovasi Media.- BERNAMA
BACA JUGA ARTIKEL │Calon muda : Membongkar tembok kuasa, membina masa depan demokrasi