Bekalan makanan cukup dan tidak darurat, tiada keperluan Malaysia ikut langkah 33 negara
Susulan laporan bahas 33 buah negara menyeru rakyatnya menyimpan bekalan makanan dan air minuman, perhatian kini terarah kepada respons Malaysia terhadap perkembangan berkenaan.
Mengulas perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada keperluan untuk Malaysia untuk membuat seruan sama memandangkan bekalan keperluan asas mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan akan datang.
“kerajaan sentiasa memastikan keterjaminan makanan negara berada pada tahap yang baik, selain menjamin bekalan barangan keperluan asas mencukupi untuk rakyat dan individu yang berada di negara ini.
“Kita tidak nampak adanya keperluan ke arah itu kerana dari segi keterjaminan makanan dan tahap simpanan, ia mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China dalam Pelaburan, Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi hari ini.
Zahid juga menjelaskan bahawa negara tidak berada dalam keadaan darurat, malah jauh daripada situasi itu.
“Kita tidak berada dalam keadaan darurat dan insya-ALLAH jauh daripada keadaan darurat itu,” katanya.