Hujan lebat cetus banjir kilat, pengguna jalan raya terperangkap di sekitar Lembah Klang
Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Lembah Klang petang ini mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila kejadian banjir kilat dilaporkan berlaku di Denai Alam, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan Petaling Jaya.
Keadaan itu mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial yang berkongsi perkembangan semasa, termasuk keadaan jalan raya yang dilimpahi air sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Iskandarsukandar memuat naik rakaman hujan lebat di kawasan Denai Alam sambil tertanya-tanya apa yang sedang berlaku di kawasan berkenaan.
“Apa jadi kat Denai? Semua orang patah balik lawan arus. Denai banjir ke?” tulisnya.
Seorang lagi pengguna berkongsi keadaan di kawasan Bukit Subang, Seksyen 7, dengan memaparkan sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta di kawasan parkir ketika hujan lebat.
Selain itu, beberapa pengguna turut melaporkan keadaan air yang meningkat di sekitar Denai Alam, termasuk kawasan bulatan berhampiran sebuah kedai perabot.
Di Petaling Jaya, pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman berdepan hujan lebat dan keadaan jalan yang sukar dilihat ketika memandu, manakala seorang pengguna memaklumkan hujan berterusan di kawasan Subang Perdana sudah hampir dua jam.
Orang ramai turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu dalam keadaan cuaca buruk dan mengelakkan laluan yang dinaiki air.