Pas kritik CSA, tapi lupa ke MoU 2021 dimulakan kerajaan Pas-PN
Amalan mengikat persefahaman antara kerajaan dengan pembangkang bagi mendapatkan peruntukan bukanlah sesuatu yang muncul secara tiba-tiba di bawah Kerajaan MADANI, sebaliknya sudah dilaksanakan ketika Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.
Pada 2021, Pakatan Harapan (PH) terpaksa memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan PN demi mendapatkan peruntukan.
Ketika itu, Pas merupakan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan bersama Bersatu dan Umno, manakala Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula menganggotai Kabinet sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.
Peruntukan sama rata itu bukan diberikan secara automatik kepada semua Ahli Parlimen pembangkang kerana kerajaan ketika itu menetapkan penyertaan dalam MoU sebagai asas pemberiannya pada peringkat awal.
Malah, pada 25 November 2021, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menjelaskan bahawa hanya Ahli Parlimen pembangkang yang menyertai MoU berkenaan diberikan peruntukan sama rata ketika itu.
Hari ini, Tuan Ibrahim pula mempersoalkan pelaksanaan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) oleh kerajaan MADANI, dengan menyifatkan pendekatan itu sebagai budaya politik baharu yang tidak sepatutnya diamalkan.
Dalam kenyataan terbaharunya, beliau berkata kerajaan sepatutnya menyalurkan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti atau kedudukan mereka sebagai kerajaan mahupun pembangkang.
“Kita tidak boleh jadikan CSA sebagai satu budaya politik baru negara. Ia seolah-olah kita tidak iktiraf pilihan rakyat dan menyemarakkan salah guna kuasa demi untuk mendapatkan sokongan.”
Bagaimanapun, pendirian itu perlu dilihat bersama rekod pentadbiran terdahulu di mana Pas juga menggunakan memorandum persefahaman antara kerajaan dan pembangkang untuk mendapatkan peruntukan.
Pada 29 Oktober lalu, kerajaan MADANI memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan 13 Ahli Parlimen, termasuk enam wakil Bersatu yang diketuai presidennya, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, serta beberapa wakil rakyat lain termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempertahankan pendekatan itu dengan menjelaskan bahawa persefahaman seumpama itu bukan perkara asing dalam politik negara kerana pernah dilaksanakan ketika pentadbiran terdahulu yang disertai Pas, Bersatu dan Barisan Nasional (BN).