KBS sekat kelulusan penganjuran HYROX KL selagi tajaan syarikat arak tidak ditarik balik

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan penganjuran HYROX Kuala Lumpur selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya, termasuk pengeluaran semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan daripada saluran rasmi acara pertandingan.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan susulan tular tangkap layar pengumuman sebuah syarikat minuman beralkohol sebagai Official Beer Partner bagi acara HYROX Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 13 Disember di Malaysia International Trade and Exhibition Center (MITEC), Kuala Lumpur.

Beliau berkata, permohonan penganjuran acara berkenaan masih dalam proses dan belum mendapat kelulusan KBS, selain kementerian tidak menyalurkan sebarang dana kepada acara itu.

“Untuk rekod, permohonan penganjuran acara tersebut sedang diproses tetapi belum diluluskan, dan KBS tidak memberikan sebarang kelulusan atau penyaluran dana kepada acara ini,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Menurut Taufiq, penglibatan syarikat minuman beralkohol dalam penajaan acara sukan bercanggah dengan Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat Edisi Ketiga 2024 yang menetapkan larangan terhadap penajaan, promosi dan pengiklanan produk berkenaan dalam aktiviti sukan yang diluluskan atau disokong KBS serta agensinya.

“KBS tidak akan meluluskan penganjuran acara ini selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya. 

“Ini termasuk pengeluaran semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan daripada semua saluran rasmi acara dan venue pertandingan,” kata beliau.

KBS mengingatkan bahawa di bawah Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], sesuatu syarikat tidak boleh terlibat dalam apa-apa aktiviti sukan, melainkan jika ia dilesenkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih daripada RM500,000, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Taufiq menegaskan, peraturan berkenaan terpakai kepada semua penganjur tanpa pengecualian, termasuk syarikat tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol, tanpa mengira jenama atau sasaran pengiklanan.

Kata beliau, KBS tidak akan berkompromi dalam memastikan persekitaran sukan yang selamat dan sihat untuk semua peserta.