Penerima bantuan di Rim tak hilang bantuan, tiada barang disita – Siti Aishah jawab dakwaan Dira

Semua individu yang tersenarai sebagai penerima bantuan di DUN N.25 Rim kekal menerima bantuan masing-masing, manakala tiada barangan daripada kotak makanan yang didakwa terbabit dalam isu pelanggaran Akta Pilihan Raya diambil atau disita pihak berkuasa.

Perkara itu ditegaskan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR merangkap Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat, Siti Aishah Shaik Ismail, ketika menjawab dakwaan bahawa laporan polis berhubung isu berkenaan menyusahkan penerima bantuan.

Menurutnya, perkara itu disahkan menerusi rujukan dengan pegawai penyiasat (IO) yang mengendalikan kes berkaitan dakwaan pelanggaran Akta Pilihan Raya di kawasan berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada sebarang barangan daripada kotak makanan terbabit diambil atau disita oleh pihak berkuasa.

“Saudari Dira perlu tahu bahawa sekiranya beliau tidak melanggar Akta Pilihan Raya, maka perkara ini tidak akan berlaku.

“Rakyat pastinya dalam isu ini dapat menerima bantuan tersebut tanpa dipolitikkan sama sekali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Siti Aishah turut mengingatkan Dira supaya tidak menjadikan rakyat sebagai alasan untuk mempertahankan tindakan yang didakwa melanggar peraturan pilihan raya.

Katanya, setiap calon perlu memahami dan mematuhi peraturan serta undang-undang yang mengikat mereka sepanjang tempoh pilihan raya.

“Pesanan saya kepada Saudari Dira, jangan menjadikan rakyat sebagai alasan untuk kita melakukan sesuatu yang salah.

“Kita seharusnya lebih memahami peraturan dan akta yang mengikat kita sebagai calon dalam pilihan raya, dan inilah yang kita namakan sebagai disiplin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Siti Aishah berkata pihaknya masih menunggu sebarang pemakluman berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Beliau turut memaklumkan satu laporan rasmi telah dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri pagi ini berhubung isu berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap siasatan secara telus dan terperinci dapat dijalankan dengan segera bagi memperjelaskan perkara yang berlaku.

BACA JUGA ‘Janganlah sampai ekstrem… Hadi Awang tahu ke bila kiamat?’ – Azalina balas Pas