‘Lebih tinggi daripada menteri pun ada!’, 598 VVIP termasuk YB ‘kantoi’ gagal carum Perkeso untuk pekerja domestik
Seramai 598 individu berprofil tinggi termasuk VVIP, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dikesan gagal membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja domestik masing-masing.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan mendedahkan bahawa individu terbabit termasuk mereka yang mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada seorang menteri.
“Lebih tinggi daripada menteri pun ada, saya bukan nak mainkan isu ini, tetapi ini adalah hak pekerja,” katanya, dipetik BH, ketika ditanya sama ada senarai berkenaan turut membabitkan menteri.
Menurut Ramanan, seramai 10,033 majikan pekerja domestik dikenal pasti belum memenuhi kewajipan mencarum berdasarkan semakan Perkeso setakat 1 November lalu.
Beliau berkata, Perkeso turut mengesan 26,669 majikan mempunyai rekod tunggakan caruman yang memerlukan semakan dan tindakan susulan.
Ramanan menegaskan bahawa kedudukan, pangkat, pengaruh atau status seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai majikan.
“Undang-undang terpakai kepada semua tanpa pengecualian,” tegasnya selepas Majlis Penyerahan Faedah Perkeso kepada waris mangsa tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal.
Hak pekerja
Beliau turut mempersoalkan sikap pemimpin yang lantang bercakap mengenai kebajikan rakyat tetapi gagal melaksanakan tanggungjawab asas terhadap pekerja sendiri.
“Kita tidak boleh bercakap mengenai kebajikan dan hak pekerja sekiranya tanggungjawab paling asas terhadap pekerja di rumah sendiri pun masih gagal kita tunaikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Perkeso memperketat pemantauan dan penguatkuasaan tanpa berkompromi terhadap mana-mana majikan yang gagal mematuhi undang-undang.
Ramanan turut memberi amaran bahawa nama individu berkenaan akan didedahkan kepada umum sekiranya mereka masih gagal menyelesaikan kewajipan caruman sebelum 7 Disember ini.
“Saya hanya mahu mereka ini bayar caruman, jadi 7 Disember ini adalah tarikh akhir, selepas ini kita akan laksanakan tindakan undang-undang,” katanya.
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan boleh dimulakan dengan kompaun sebelum pesalah berdepan denda sehingga RM10,000 atau hukuman penjara atau kedua-duanya sekali.
Beliau menjelaskan bahawa pekerja domestik bukan hanya pembantu rumah, sebaliknya turut merangkumi pemandu peribadi, tukang kebun, pengasuh dan penjaga warga emas.
BACA JUGA Dulu Pas ucap ‘Good Luck’ kepada Trump, kini Republikan tersungkur teruk di Kongres