‘Orang muda nak minum kopi, bukan dengar ceramah!’ – PH bawa Kopilih Harapan jelajah Melaka

Bukan sekadar mendengar ceramah, anak muda Melaka kini boleh minum kopi sambil menyoal, mencabar dan mengkritik calon Pakatan Harapan (PH) secara berdepan menerusi platform Kopilih Harapan.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata, pendekatan itu diperkenalkan bagi memberi ruang kepada anak muda menyuarakan pandangan tanpa perlu menghadiri ceramah politik seperti kebiasaan.

“Orang muda mana nak dengar ceramah, orang muda nak minum kopi,” katanya ketika memperkenalkan inisiatif berkenaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata, PH tidak mahu kempen pilihan raya kali ini hanya tertumpu kepada ceramah sehala, sebaliknya mahu mewujudkan komunikasi dua hala bersama pengundi muda.

Menerusi Kopilih Harapan, sebuah trak kopi akan menjelajah pelbagai lokasi di Melaka bagi membuka ruang pertemuan santai antara calon PH dengan masyarakat setempat.

Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, calon-calon PH akan turut hadir untuk bersembang bersama anak muda yang mahu bertanya, berkongsi pandangan atau membangkitkan persoalan mengenai isu semasa.

Menariknya, anak muda bukan sahaja boleh mengemukakan soalan, malah turut diberi ruang mencabar dan mengkritik calon PH secara bersemuka.

Pendekatan itu membolehkan pengundi muda mengenali calon dengan lebih dekat serta mendengar sendiri penjelasan mereka mengenai isu yang menjadi perhatian rakyat.

Berkongsi idea

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkenaan berkata, anak muda juga boleh berkongsi idea dan cadangan dalam suasana santai sambil menikmati kopi tanpa terikat dengan format ceramah politik yang formal.

Kopilih Harapan turut bakal menampilkan beberapa tetamu istimewa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Altimet dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang lebih dikenali sebagai Rara.

Kehadiran tetamu jemputan itu dijangka memeriahkan sesi pertemuan selain memberi peluang kepada anak muda berinteraksi dengan lebih ramai pemimpin dan wakil rakyat.

Melalui pendekatan berkenaan, PH Melaka mahu menjadikan kempen pilihan raya sebagai ruang mendengar suara pengundi, bukan sekadar menyampaikan ucapan dan meminta sokongan.

Adam Adli turut mengajak anak muda Melaka mengikuti jelajah Kopilih Harapan yang akan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain sepanjang kempen pilihan raya.

“Ingat ya, Kopilih Harapan di tempat anda,” katanya sambil mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam sesi pertemuan santai tersebut.

BACA JUGA ‘Lebih tinggi daripada menteri pun ada!’, 598 VVIP termasuk YB ‘kantoi’ gagal carum Perkeso untuk pekerja domestik