MP Pas akui tanpa bantuan kerajaan pusat, Kedah Rubber City gagal

Pembangunan Kedah Rubber City (KRC) tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa bantuan dan peruntukan Kerajaan Persekutuan, demikian pengakuan Ahli Parlimen Pas-Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, projek yang mula dicadangkan pada 2013 itu hanya dapat bergerak selepas kerajaan pusat menyalurkan peruntukan sebanyak RM320 juta bagi tujuan pengambilan tanah dan pembangunan struktur asas.

Menurutnya, beliau terbabit dalam pembangunan KRC dari peringkat awal, namun ketika itu projek berkenaan belum berjaya menarik pelaburan kerana kemudahan bekalan elektrik masih belum disiapkan.

“Bagi pihak kerajaan di Kedah, kita ucap banyak terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan sebab tanpa Kerajaan Persekutuan, Kedah Rubber City tidak dapat dibangunkan.

“Jadi, terima kasih banyak-banyak,” katanya ketika membahaskan peruntukan di Dewan Rakyat.

Penghargaan terbuka daripada wakil rakyat Pas itu mendapat respons Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mengucapkan terima kasih atas pengiktirafan berkenaan.

“Terima kasih kepada Kubang Pasu. Dia bangkit untuk ucap terima kasih. Jadi, sama-sama,” katanya.

Pengakuan itu turut membuka ruang kepada persoalan lebih besar mengenai keupayaan kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran Pas dalam memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Isu berkenaan bukan sekadar berkaitan KRC, sebaliknya beberapa projek infrastruktur penting di Kedah turut berdepan kelewatan, khususnya projek loji rawatan air yang memberi kesan langsung kepada keperluan asas penduduk.

Antaranya, projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling yang kontrak asalnya ditamatkan pada April 2025 selepas kemajuan fizikal hanya mencapai 25.57 peratus.

Kerajaan Persekutuan kemudiannya mengambil alih pelaksanaan projek itu dan perlu menjalankan proses tender semula bagi melantik kontraktor baharu.

Menteri Ekonomi sebelum ini turut memaklumkan projek LRA Bukit Selambau hanya mencapai kemajuan fizikal 51.28 peratus berbanding jadual asal 58.02 peratus, sekali gus memerlukan tindakan terhadap kontraktor terbabit.

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Kedah, Bau Wong Bau Ek, pada April lalu membangkitkan masalah projek naik taraf LRA Bukit Selambau yang didakwa terhenti walaupun kontraktor telah diberikan empat kali lanjutan masa.

Keadaan itu dikatakan memberi kesan kepada kira-kira 15,000 akaun pengguna di sekitar Sungai Petani, Sungai Lalang, Merbok dan Tanjung Dawai.

Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 bagi Kedah pula merekodkan bahawa daripada 1,425 projek pembangunan yang dirancang pada 2023, sebanyak 46 projek masih belum dimulakan, tiga dibatalkan dan 17 masih dalam pelaksanaan.

Daripada 17 projek yang masih berjalan, enam telah diberikan lanjutan masa antara satu hingga empat kali.

Walaupun 1,359 projek atau 95.4 peratus berjaya disiapkan, angka projek yang belum dimulakan dan memerlukan lanjutan masa tetap menunjukkan keperluan memperkukuh pemantauan serta kecekapan pelaksanaan.

Justeru, persoalan yang wajar dibangkitkan ialah sejauh mana kerajaan negeri mampu memastikan projek yang dirancang bukan sekadar diumumkan, tetapi disiapkan mengikut tempoh dan memberi manfaat kepada rakyat.

Kelewatan projek tidak semestinya berpunca sepenuhnya daripada kerajaan negeri kerana faktor kontraktor, pengambilan tanah dan penyelarasan agensi turut memainkan peranan. Namun, kerajaan negeri tetap mempunyai tanggungjawab memastikan pemantauan, penyelarasan dan tindakan pembetulan dilaksanakan dengan berkesan.

Peruntukan RM52.5 juta untuk Kedah pada 2027

Dalam jawapan sama, Akmal turut memperincikan peruntukan pembangunan bagi Kedah melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah untuk tahun 2027 yang berjumlah RM52.5 juta.

Beliau berkata, peruntukan itu membabitkan pelaksanaan lima projek fizikal, terdiri daripada tiga projek baharu dan dua projek sambungan.

Tiga projek baharu berkenaan ialah kerja menaik taraf medan selera UK Mall di Alor Setar, pembinaan premis usahawan di kawasan perindustrian Gurun serta menaik taraf medan selera Keluncur di Kuala Kedah.

Dua projek sambungan pula melibatkan pembangunan infrastruktur asas Zon Industri Fasa 5 di Kulim Hi-Tech Park dengan peruntukan RM47 juta serta kerja menaik taraf bangunan serba guna kepada 15 unit ruang niaga.

Akmal turut memaklumkan sebanyak RM236.6 juta diperuntukkan kepada 13 Perbadanan Kemajuan Negeri bagi melaksanakan 38 projek pada 2027.

Peruntukan itu disalurkan melalui badan pembangunan ekonomi negeri bagi menyokong pelaksanaan projek fizikal dan pembangunan di peringkat negeri.

BACA JUGA ‘Orang muda nak minum kopi, bukan dengar ceramah!’ – PH bawa Kopilih Harapan jelajah Melaka