Balik kampung Deepavali? Kerajaan MADANI potong tol 50 peratus selama dua hari
Pengguna lebuh raya bakal menikmati penjimatan kos perjalanan apabila kerajaan mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Deepavali 2026.
Diskaun berkenaan akan bermula pada jam 12 tengah malam, Jumaat, 6 November, dan berakhir pada jam 11.59 malam, Sabtu, 7 November.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif itu diteruskan sebagai usaha kerajaan meringankan beban rakyat, khususnya mereka yang merancang pulang ke kampung halaman atau menziarahi keluarga sempena perayaan berkenaan.
Menurutnya, pelaksanaan diskaun itu dianggarkan melibatkan bayaran pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat, dengan kos berkenaan ditanggung kerajaan tertakluk kepada pengesahan data trafik.
“Keputusan ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan pada 5 November.
Diskaun berkenaan melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, kemudahan itu tidak melibatkan dua plaza tol sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK) di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Nanta berkata, inisiatif itu diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan, khususnya masyarakat beragama Hindu yang pulang ke kampung halaman atau menziarahi ahli keluarga bagi meraikan Deepavali.
Pelaksanaan pemberian diskaun itu akan diselaraskan Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama syarikat konsesi lebuh raya terlibat.
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Mereka juga diingatkan memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi, mematuhi had laju serta mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi saluran rasmi LLM.
Nanta turut mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali 2026 kepada seluruh masyarakat beragama Hindu dan berharap perayaan itu terus memperkukuh semangat perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia.
BACA JUGA Puad cabar Majlis Ulama Umno, Dr Asyraf jangan membisu isu ‘Dajal’ Hadi