Rumah harga ‘tak cekik darah’ – Ginie Lim bawa tawaran manifesto kepada pengundi Machap Jaya
Harga rumah yang semakin mencabar kemampuan rakyat menjadi antara isu yang diketengahkan calon Pakatan Harapan (PH), Ginie Lim, menerusi tawaran manifesto untuk memperjuangkan kediaman pada harga lebih munasabah di Machap Jaya.
Ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 memasuki fasa penting, Ginie menawarkan pendekatan yang memberi pilihan kepada penduduk sama ada membeli atau menyewa rumah mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Dalam kenyataan di Facebook, beliau berkata mahu memastikan impian rakyat memiliki kediaman sendiri tidak terus terbeban dengan harga yang terlalu tinggi.
“Ini antara manifesto saya untuk Machap Jaya; saya nak memperjuangkan rumah harga waras! Harga tak cekik darah, harga yang sesuai dengan poket kita,” katanya.
Menurutnya, rumah yang selesa tidak semestinya perlu membebankan kewangan pembeli, sebaliknya setiap orang berhak mempunyai tempat untuk membina kehidupan dan keluarga.
“Rumah yang selesa tak semestinya perlu membebankan.
“Kerana setiap orang berhak ada tempat untuk membina kehidupan dan keluarga,” katanya.
Tawaran itu dilihat menyentuh isu penting khususnya golongan muda dan keluarga berpendapatan sederhana yang berdepan cabaran memiliki rumah sendiri berikutan kos kediaman, deposit serta komitmen pembiayaan jangka panjang.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November 2026 sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16.
Tempoh berkempen berlangsung selama 14 hari dan berakhir pada 11.59 malam, 13 November.
Pilihan raya kali ini menyaksikan persaingan merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka selepas pembubaran DUN pada 23 September lalu.
Dengan hari pengundian semakin hampir, isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, kemudahan awam dan kemampuan memiliki rumah dijangka terus menjadi antara perkara yang mendapat perhatian pengundi.
Bagi Ginie, tawaran rumah pada harga lebih munasabah itu menjadi sebahagian daripada pendekatan untuk membawa isu kehidupan harian rakyat ke dalam agenda pembangunan Machap Jaya.
BACA JUGA MP Pas akui tanpa bantuan kerajaan pusat, Kedah Rubber City gagal