Anwar tidak mahu pelaburan besar hanya cantik pada angka, rakyat mesti dapat manfaat
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kejayaan menarik pelaburan besar ke Malaysia tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka semata-mata, sebaliknya mesti membawa manfaat sebenar kepada rakyat termasuk pekerjaan bergaji lebih baik.
Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan setiap pelaburan yang masuk mampu meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan, mengukuhkan syarikat Malaysia dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mampan.
Menurutnya, pendekatan itu menjadi antara teras kerangka Ekonomi MADANI yang bukan sahaja mahu meningkatkan keupayaan ekonomi negara, malah memastikan hasil pertumbuhan dapat dinikmati rakyat.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Pengedaran Global Daiso di Pulau Indah, Selangor, hari ini.
Beliau menjelaskan kerajaan kini memberikan perhatian lebih besar terhadap kualiti pelaburan, khususnya dari segi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, kerjasama dengan pembekal tempatan dan pemindahan teknologi.
Sehubungan itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta insentif pelaburan negara semakin memberikan keutamaan kepada syarikat yang membawa aktiviti bernilai tinggi dan membuka peluang pekerjaan lebih berkualiti.
Perdana Menteri turut menyifatkan keputusan Daiso memilih Pulau Indah sebagai lokasi pusat pengedaran global terbesarnya di dunia sebagai bukti keyakinan syarikat antarabangsa terhadap kestabilan ekonomi dan kemudahan infrastruktur Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menekankan pelaburan seperti itu perlu memberikan kesan berganda kepada ekonomi tempatan dan bukan sekadar menjadikan Malaysia lokasi persinggahan barangan antarabangsa.
Katanya, pusat pengedaran berkenaan akan menjalankan aktiviti penyimpanan, pengasingan dan pembungkusan semula barangan untuk pasaran global, sekali gus mewujudkan aktiviti ekonomi bernilai tambah di negara ini.
Anwar turut mengalu-alukan penglibatan syarikat Malaysia termasuk PKT Logistics Group dan pengusaha pengangkutan tempatan dalam operasi pergudangan serta pengedaran Daiso yang mampu memperkukuh keupayaan industri logistik negara.
Beliau juga memuji kejayaan projek berkenaan yang disiapkan lebih awal daripada jadual dengan kos lebih rendah daripada bajet, sekali gus mencerminkan keberkesanan kerjasama sektor swasta dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Dalam jangka panjang, Anwar berharap kerjasama dengan Daiso bukan sahaja membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada anak muda, malah membolehkan lebih banyak produk buatan Malaysia memasuki rangkaian kedai syarikat itu di seluruh dunia.
BACA JUGA Balik kampung Deepavali? Kerajaan MADANI potong tol 50 peratus selama dua hari