Polis sahkan pelajar lelaki tular khayal hisap vape positif 3 jenis dadah

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan seorang pelajar lelaki sekolah menengah di Nilai dikesan positif tiga jenis dadah iaitu ketamin, benzodiazepin dan THC.

Beliau berkata, pelajar berusia 17 tahun itu disiasat susulan penularan video memaparkan dia disyaki berada dalam keadaan khayal akibat penggunaan vape.

Beliau berkata penularan video itu dipercayai berlaku pada 28 Okt lepas di sebuah sekolah menengah di daerah berkenaan.

“Pihak polis mengambil maklum mengenai penularan rakaman video berkenaan di platform media sosial Threads pada 4 Nov sebelum menjalankan siasatan dan mengenal pasti pelajar terbabit.

“Bagaimanapun, keputusan saringan awal air kencing itu masih tertakluk kepada pengesahan lanjut. Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny berkata pelajar itu akan dirujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.