Peniaga naikkan harga sesuka hati sempena Deepavali boleh didenda sehingga RM500,000

FOTO BERITA: Program Pasar Patuh (3P) dan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan, Deepavali 2026 bersama Tuan Aris Mamat Timbalan Ketua Pengarah Pencegahan KPDN bersama Encik Mohd Sabri Seman, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pasar Besar, Taman Tun Dr Ismail, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. 6hb November 2026 (Jumaat)

Peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan terkawal melebihi kadar maksimum sempena sambutan Deepavali 2026 berdepan tindakan tegas termasuk denda sehingga RM500,000.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, tindakan itu boleh dikenakan terhadap syarikat yang melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Menurutnya, peniaga individu pula boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika didapati menjual barangan melebihi harga maksimum ditetapkan. Beliau berkata, seramai 99 pegawai penguat kuasa dan 70 pegawai pemantau harga digerakkan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026.

“Pemeriksaan dan pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah,” Program Pasar Patuh (3P) dan SHMMP Deepavali 2026 di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI), yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pencegahan KPDN, Aris Mamat hari ini.

Mohd Sabri berkata, skim kawalan harga yang berlangsung dari 4 hingga 10 November itu melibatkan 11 jenis barangan keperluan berbanding sembilan pada tahun lalu. Katanya, peniaga turut diwajibkan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal supaya pengguna dapat mengenal pasti harga maksimum dengan mudah.

Beliau menjelaskan kegagalan mempamerkan tanda harga khas itu boleh menyebabkan individu didenda sehingga RM10,000, manakala syarikat berdepan denda maksimum RM20,000.
Bagaimanapun, KPDN akan mengutamakan pendekatan pendidikan, nasihat dan amaran sebelum mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut kesalahan yang dilakukan.

Dalam masa sama, pengguna digalakkan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang pelanggaran harga melalui WhatsApp 019-848 8000 atau portal e-Aduan KPDN.

Mohd Sabri menegaskan kerjasama peniaga dan pengguna amat penting bagi memastikan harga barangan kekal terkawal serta mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan sepanjang musim perayaan.