Anwar hormat hak Umno bantu Najib, tetapi bimbang mesej salah soal rasuah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati hak Umno membantu Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan denda RM50 juta bagi membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.
Namun beliau berpandangan tindakan Umno itu memberi gambaran negatif terhadap pesalah rasuah.
“Tak mengapalah kalau itu keputusan Umno. Dia nak bayar RM50 juta, itu kerja dia.
“Pandangan peribadi, saya tidak setuju kerana kita tidak harus memberi gambaran kepada rakyat bahawa kegiatan rasuah yang mencecah bilion ringgit itu boleh dibiarkan begitu rupa,” katanya ketika ditemui selepas selesai solat Jumaat di Masjid Taman Kosas,hari ini.
Media melaporkan, Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi hari ini.
Anwar berkata, prinsip menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu terus dipertahankan serta diterapkan kepada generasi muda.
“Apa yang kita nak didik kepada anak-anak kita iaitu satu prinsip akhlak yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
“Bagaimanapun, saya menghormati keputusan UMNO kerana itu hak mereka.
“Untuk pendapat saya, saya sudah zahirkan,” katanya.