Terkini Jabatan Peguam Negara tangguh sementara tahanan rumah Najib
Jabatan Peguam Negara hari ini memutuskan untuk menangguhkan buat sementara waktu pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Ia bagi mendapatkan penelitian dan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan perintah mahkamah berkaitan.
Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Peguam Negara memaklumkan penangguhan itu dibuat susulan persoalan perundangan berhubung pelaksanaan baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International Sdn Bhd selepas beliau membayar denda RM50 juta.
Berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September 2026, Najib dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada penyelesaian denda RM50 juta serta pematuhan syarat yang ditetapkan.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara berkata terdapat dua interpretasi yang memerlukan penelitian lanjut berhubung maksud tahanan di rumah dan kesan pembayaran denda terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International.
Interpretasi pertama menyatakan pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes berkenaan masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.
Berdasarkan tafsiran itu, tahanan di rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif untuk menjalani baki hukuman penjara dan bukannya penamatan hukuman berkenaan.
Interpretasi kedua pula menyatakan pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, sekali gus membawa kesan bahawa keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap telah selesai.
Jabatan Peguam Negara turut memaklumkan bahawa persoalan itu melibatkan kesan undang-undang perintah Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas pembayaran denda RM50 juta direkodkan.
Perintah itu mengarahkan supaya Najib dilepaskan serta-merta, namun pada masa sama menyatakan baki hukuman hendaklah dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.
Selain itu, status baki hukuman penjara bagi kes SRC International turut mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman penjara Najib bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jabatan Peguam Negara berkata perkara itu perlu diteliti, khususnya berhubung perintah mahkamah yang menetapkan hukuman bagi kes 1MDB bermula selepas hukuman penjara bagi kes SRC International selesai, termasuk permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB yang ditolak Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober 2026.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan berpandangan penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan pelaksanaan selanjutnya diambil.
Jabatan Peguam Negara berkata pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib wajar ditangguhkan sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan perintah mahkamah berkenaan diselesaikan.
Dalam tempoh itu, status penahanan Najib hendaklah dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.
Jabatan Peguam Negara menegaskan penangguhan sementara itu bukan bertujuan mempertikaikan atau mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya bagi memastikan titah berkenaan dan perintah mahkamah dilaksanakan dengan tepat, teratur serta selaras dengan kedudukan undang-undang sebenar.
Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya selepas penelitian dan penjelasan berhubung perkara itu selesai dilaksanakan.