Bitdeer intai pelaburan jangka panjang bangunkan infrastruktur AI di Malaysia

Syarikat teknologi, Bitdeer Technologies Group (Bitdeer) sedang memperhalusi cadangan pelaburan jangka panjang bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) bertaraf dunia di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bitdeer menyatakan hasrat untuk terus melabur di Malaysia kerana yakin dengan hala tuju dan dasar Kerajaan MADANI dalam transformasi digital.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada pengasas, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Bitdeer, Jihan Wu bersama delegasi syarikat itu petang tadi.

Bitdeer ialah syarikat teknologi yang menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awan untuk AI dan infrastruktur perlombongan Bitcoin.

Syarikat yang beribu pejabat di Singapura dan tersenarai di Nasdaq itu turut menerima status Malaysia Digital.

Anwar berkata, pelaburan seperti itu perlu membuka peluang pekerjaan serta menyediakan latihan bagi membina kepakaran rakyat Malaysia, khususnya dalam bidang AI, kejuruteraan dan pengkomputeran termaju.

“Kerajaan MADANI akan terus memudah cara pelaburan strategik seperti ini agar pertumbuhan ekonomi digital turut memperkukuh industri tempatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia,” katanya.