PM utamakan kestabilan tetapi tak malu ke, malam tikam belakang, siang kerjasama

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Munim membidas pihak yang tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan Perdana Menteri tetapi masih mahu kekal dalam kerajaan.

Kamil berkata, mana-mana menteri daripada mana-mana blok yang tidak lagi sehaluan atau tidak lagi mahu mendukung kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, wajar mengundurkan diri dengan sendirinya.

Katanya, asas yang dikekalkan Perdana Menteri selama ini adalah meletakkan kepentingan untuk politik yang stabil supaya kestabilan ekonomi dapat dikekalkan dalam masa yang sama.

“Itu keutamaan kita. Keutamaan orang lain pula dia sibuk mencari jalan menjatuhkan Perdana Menteri. Jadi mereka ni kalau tak boleh, tak sabar, tak boleh tunggu apa semua, you can go and leave anytime.

“Tak perlu nak tunggu kena pecat apa semua. Malulah sikit, siang kita bercakap bukan main, malam tikam belakang, cakap benda yang bukan-bukan. Orang macam ini dia tak ada prinsip, dia tak ada maruah, tak ada harga diri, dia tak ada jati diri,” katanya.

Kamil berkata demikian kepada media selepas majlis dialog dengan nelayan di Pondok Nelayan Kompleks LKIM Kuala Linggi tengahari tadi.

Turut serta, Faiz Fadzil Pengerusi LKIM dan calon PH Kuala Linggi Mukhlis Mubin Julasupiyah.

Mengulas mengenai pendirian Anthony Loke yang akan meletakkan jawatan sekiranya Datuk Seri Najib Razak pulang, Kamil berkata pihaknya menghormati pendirian yang dibuat Setiausaha Agung DAP itu.

“Kita hormat pendirian yang telah dibuat oleh Anthony Loke. Tapi saya yakin rakyat boleh menilai dan boleh membuat pertimbangan,” kata beliau.