Apa PMX buat bila jadi PM? Panggil Syed Mokhtar, RM50 juta untuk pesawah
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Munim mengimbas kembali tindakan pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menjadi Perdana Menteri iaitu memanggil Tan Sri Syed Mokhtar berhubung nasib pesawah.
Kamil berkata, Anwar bertemu dengan tokoh korporat itu dan membantu mendapatkan peruntukan RM50 juta untuk pesawah.
“Tiga puluh peratus daripada keuntungan setiap tahun import beras, pulang balik pada pesawah. Itu cara pemimpin. Kawtim dengan tauke,” katanya dalam satu program dialog bersama nelayan di Pondok Nelayan Kompleks LKIM Kuala Linggi tengahari tadi.
Turut hadir, Faiz Fadzil Pengerusi LKIM dan calon PH Kuala Linggi Mukhlis Mubin Julasupiyah.
Menurut Kamil, cara itu berbeza dengan pihak di sebelah sana yang turut melakukan kawtim tetapi keuntungan masuk ke akaun parti dan akaun peribadi, bukan kepada pesawah atau petani.
“Jadi sebab itu kita tidak angkat pemimpin yang tunduk kepada tauke-tauke besar dan konglomerat besar…
“(Pemimpin) sepatutnya menggunakan kedudukan dan kebijaksanaan mereka itu untuk mencari jalan bagaimana mereka ini boleh membantu kepada pembangunan dan pada masa sama bagi kesan kepada kehidupan nelayan dan juga masyarakat di kawasan ini, maka kena ada win-win situation.
“Kalau ada pemimpin tapi tak reti nak memimpin, tak reti nak paksa, tak reti nak bercakap bagi pihak rakyat, masalahnya sepuluh, dua puluh tahun lagi pun takkan selesai,” katanya lagi.