Peguam Negara sudah mohon menghadap Agong berhubung pengampunan Najib

Peguam Negara hari ini memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi memohon ampun dan menyatakan pendiriannya untuk mematuhi titah Seri Paduka Baginda berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Peguam Negara turut akan menjelaskan persoalan perundangan yang timbul susulan Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi selepas pembayaran denda RM50 juta oleh bekas Perdana Menteri itu.

Persoalan perundangan berkenaan perlu diputuskan oleh mahkamah kerana ia memberi kesan kepada tarikh permulaan hukuman penjara Najib dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).