KPDN Selangor perkukuh pematuhan peniaga di kawasan tumpuan pelancongan

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) KPDN 2026 Peringkat Negeri Selangor disempurnakan oleh YB. Dato’ Haji Rizam Haji Ismail Exco Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna. Turut hadir Tuan Aris Mamat Timbalan Ketua Pengarah Pencegahan KPDN di Golden Palm Tree Resort, Sepang, Selangor. 7hb November 2026 (Sabtu)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memperkukuh usaha memastikan peniaga di kawasan tumpuan pelancongan mematuhi undang-undang bagi melindungi hak pengguna dan pelancong.

Usaha itu dilaksanakan menerusi Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) KPDN 2026 Peringkat Negeri Selangor yang dilancarkan di Golden Palm Tree Resort, Sepang, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah Pencegahan KPDN, Aris Mamat.

Rizam berkata, program berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih telus, selamat dan berintegriti khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tempatan serta antarabangsa.

Menurutnya, pelaksanaan ZTPP merupakan kesinambungan Program Pasar PATUH yang sebelum ini dilaksanakan KPDN Selangor di tujuh lokasi pasar awam seluruh negeri.

Katanya, pendekatan itu kini diperluaskan ke kawasan pelancongan dengan memberi penekanan terhadap kebersihan, keselamatan, pematuhan undang-undang dan pengurusan premis perniagaan.

Selain itu, KPDN turut menyediakan Tanda Harga PATUH bagi membantu peniaga mempamerkan harga barangan dan perkhidmatan secara jelas supaya pengguna tidak keliru ketika membuat pembelian.

Pelaksanaan program tersebut turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Sepang, Tourism Selangor dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Kerjasama itu turut melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah Sepang serta komuniti peniaga sekitar Pantai Bagan Lalang bagi memastikan pematuhan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Rizam berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui KPDN bagi meningkatkan keyakinan pelancong terhadap sektor perdagangan dan pelancongan Selangor.

Beliau turut menyeru semua pengusaha dan peniaga supaya menjadikan pematuhan undang-undang sebagai amalan utama dalam menjalankan perniagaan.

KPDN Selangor berharap program ZTPP dapat diperluaskan ke kawasan pelancongan lain bagi menggalakkan persaingan perniagaan yang sihat serta memastikan kepentingan pengguna sentiasa dilindungi.