BN kata 97% manifesto dah selesai, Adly tanya mana bukti?
Dakwaan Barisan Nasional (BN) bahawa sebanyak 97 peratus janji manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 telah dilaksanakan perlu disertakan bukti terperinci supaya rakyat boleh menilai sendiri pencapaian sebenar kerajaan negeri.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, BN perlu mengemukakan senarai lengkap pelaksanaan 103 inisiatif yang terkandung dalam manifesto berkenaan, merangkumi lima teras utama.
Menurutnya, angka peratusan semata-mata tidak mencukupi jika tidak disertakan maklumat mengenai kedudukan setiap inisiatif, tahap pelaksanaan serta komitmen yang telah ditunaikan.
“Kalau kita melihat dakwaan pencapaian itu, perlu disertakan senarai lengkap yang menunjukkan kedudukan serta komitmen supaya pengundi dapat menilai sendiri,” katanya pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Baru.
Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, ketelusan dalam melaporkan pencapaian manifesto penting bagi memastikan rakyat dapat membezakan antara pengumuman dasar dengan hasil pelaksanaan sebenar.
Beliau turut membangkitkan kedudukan kewangan kerajaan negeri berdasarkan ringkasan Laporan Ketua Audit Negara yang merekodkan hasil Melaka sebanyak RM490 juta pada 2024, berbanding perbelanjaan RM519 juta.
Perbezaan itu menunjukkan perbelanjaan kerajaan negeri melebihi hasil sebanyak RM29 juta, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keutamaan pengurusan kewangan dan keupayaan pentadbiran mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan.
“Kadang-kadang kita dapat meningkatkan pendapatan tetapi pengurusan perbelanjaan juga harus diberikan keutamaan. Sebab itu kalau mengikut rekod 2024, pendapatan (kerajaan negeri) RM490 juta, tetapi berbelanja RM519 juta,” katanya.
Sebagai perbandingan, Adly berkata pentadbiran PH di Melaka pada 2019 pernah mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM50 juta.
Beliau berkata, rekod itu menunjukkan bahawa pengurusan kewangan kerajaan negeri bukan sekadar bergantung kepada usaha meningkatkan hasil, tetapi turut memerlukan kawalan perbelanjaan yang berkesan.
Dalam menghadapi PRN Melaka kali ini, PH menerusi aspirasi ‘Melaka Rumah Kita’ menawarkan pentadbiran yang bersih, telus dan berintegriti, termasuk memastikan setiap ringgit wang awam diuruskan secara berhemah.
Adly berkata, pengundi berhak memperoleh maklumat yang jelas mengenai pencapaian kerajaan negeri, termasuk pelaksanaan manifesto dan kedudukan kewangannya, sebelum membuat keputusan pada pilihan raya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November.
BACA JUGA Penjara mahal, tahanan rumah murah? PSM persoal siapa tanggung kos Najib