PH mahu hidupkan semula Dana Harta Bumiputera RM30 juta – Adly dedah apa jadi jika kembali mentadbir Melaka

Mewujudkan semula Dana Harta Bumiputera bernilai lebih RM30 juta antara tawaran Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan itu kembali mentadbir Melaka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, inisiatif menerusi Melaka Amanah Finance House itu pernah diwujudkan ketika PH mentadbir negeri berkenaan bagi membantu golongan Bumiputera mendapatkan pembiayaan pembelian rumah serta menyediakan sokongan kewangan kepada usahawan mikro.

Menurutnya, dana berkenaan diluluskan dengan peruntukan melebihi RM30 juta menggunakan hasil kerajaan negeri sendiri dan wajar dikembalikan sebagai salah satu mekanisme memperkukuh kedudukan ekonomi Bumiputera.

“Dana berkenaan diluluskan ketika pentadbiran PH mempunyai nilai lebih RM30 juta dan merupakan antara inisiatif kerajaan negeri menggunakan hasil sendiri untuk membantu masyarakat.

“Saya fikir langkah ke hadapan, inisiatif ini harus ada kerana kita tahu bahawa memperkukuh ekonomi golongan Bumiputera adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama di Ayer Keroh.

Adly berkata, usaha membantu usahawan Bumiputera tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan Persekutuan, sebaliknya kerajaan negeri juga perlu mempunyai dana dan program sokongan tersendiri.

Katanya, kerjasama dengan agensi Persekutuan seperti TEKUN penting, namun ia perlu dilengkapi inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan lebih ramai usahawan mendapat akses kepada pembiayaan.

“Ramai usahawan Bumiputera yang harus dibantu. Di samping kerjasama dengan kerajaan Persekutuan seperti TEKUN dan seumpamanya, kerajaan negeri mesti ada inisiatif-inisiatif itu dan sebahagian dana harus diperuntukkan,” katanya.

Mengulas kemampuan kerajaan negeri menyediakan peruntukan sedemikian, Adly berkata pengurusan kewangan berhemah, penjimatan dan ketelusan pentadbiran boleh membuka ruang kepada pelaksanaan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa peruntukan lebih RM30 juta bagi Dana Harta Bumiputera sebelum ini diperoleh daripada hasil negeri, bukannya sumbangan kerajaan Persekutuan.

“RM30 juta yang kita luluskan untuk Dana Harta Bumiputera sebelum ini adalah daripada hasil negeri, tidak melibatkan hasil daripada Persekutuan.

“Ia membuktikan penjimatan, ketelusan kerajaan dan perbelanjaan berhemah boleh memberikan sesuatu yang baik kepada rakyat,” katanya.

Cadangan mengembalikan dana itu menjadi antara tawaran PH menjelang PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 November, dengan pengundian awal pada 10 November.

BACA JUGA Faham derita rakyat, Anwar pertahan subsidi untuk marhaen