Aktivis kesan kekeliruan lain dalam perintah tahanan rumah Najib Razak

Kandungan perintah mahkamah berkaitan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Najib Razak, terus menjadi perhatian apabila seorang aktivis mendakwa terdapat beberapa kekeliruan lain dalam dokumen berkenaan, termasuk klausa yang menimbulkan persoalan mengenai tindakan sekiranya syarat tahanan rumah dilanggar.

Aktivis, Liyana Marzuki berkata, penelitian terhadap dokumen itu menimbulkan persoalan mengenai ketepatan penyediaannya, khususnya penggunaan nama, rujukan seksyen undang-undang dan kandungan syarat yang dilampirkan bersama perintah berkenaan.

Menerusi satu hantaran media sosial, beliau yang juga seorang peguam menyifatkan kandungan dokumen itu sebagai mengelirukan dan mempersoalkan bagaimana kesilapan sedemikian boleh berlaku dalam perintah mahkamah membabitkan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

“Peguam-peguam yang mula-mula dulu membantai AG, sekarang sudah mula beri komen betapa teruknya perintah tersebut. Ayat caca marba, silang rujukan seksyen tak ada kena mengena. Nama pesalah pun berterabur,” katanya.

Bagaimanapun, perkara yang paling menarik perhatian Liyana ialah dakwaan wujudnya kekeliruan dalam klausa berkaitan tindakan terhadap Najib sekiranya beliau melanggar syarat tahanan rumah.

Menurutnya, dokumen itu menyatakan bahawa perintah tahanan rumah boleh terbatal sekiranya syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi, sekali gus membolehkan Najib dikembalikan ke penjara atau ditempatkan di lokasi lain yang ditentukan Ketua Pengarah Penjara.

Namun, beliau mendakwa terdapat satu lagi klausa yang membolehkan Najib terus menetap di kediamannya di Langgak Duta.

“Kalau DS Najib langgar syarat tahanan rumah, perintah ini jadi terbatal. Maka dia kena masuk balik penjara atau mana-mana tempat yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Penjara.

“Tetapi tiba-tiba ada klausa, dia boleh tinggal sahaja di rumah Langgak Duta. Apa ke bendanya ini?” soalnya.

Liyana mempersoalkan bagaimana kedua-dua peruntukan itu perlu ditafsirkan dan sama ada terdapat percanggahan dalam arahan mengenai kedudukan Najib sekiranya berlaku pelanggaran syarat tahanan rumah.

Beliau turut membangkitkan kewujudan lampiran yang mengandungi syarat-syarat tahanan rumah, namun mendakwa kandungannya masih belum diketahui umum.

Katanya, perkara itu perlu diperjelaskan kerana lampiran berkenaan mungkin mengandungi syarat penting yang menentukan bagaimana perintah tahanan rumah itu perlu dilaksanakan.

Dalam pada itu, Liyana berpandangan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan pelaksanaan perintah berkenaan wajar diberi perhatian bagi membolehkan segala persoalan terhadap dokumen itu diteliti.

Beliau turut menggesa Peguam Negara mempersembahkan perkara berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyediakan perintah tersebut.

“Saya harap AG persembahkan dan dedahkan kepada Tuanku YDPA, siapa sebenarnya bersekongkol memanipulasi titah Tuanku untuk tekak sendiri,” katanya.

Liyana menyifatkan isu itu serius kerana, menurut dakwaannya, terdapat kemungkinan kandungan perintah berkenaan tidak menggambarkan maksud sebenar titah diraja berkaitan pelaksanaan tahanan rumah Najib.

Beliau juga menggesa Umno dan Pas membuat laporan polis berhubung perkara itu, sambil menyifatkan dakwaan ketidakselarasan dalam dokumen berkenaan perlu disiasat.

Isu pelaksanaan tahanan rumah Najib sebelum ini mencetuskan perdebatan mengenai skop titah pengampunan, kedudukan perintah mahkamah serta bidang kuasa pihak berkuasa dalam menentukan kaedah pelaksanaannya.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai percanggahan klausa dan kelemahan penyediaan dokumen itu memerlukan penelitian terhadap salinan penuh perintah, lampiran berkaitan serta penjelasan rasmi pihak berkuasa sebelum sebarang kesimpulan undang-undang dapat dibuat.

BACA JUGA PH mahu hidupkan semula Dana Harta Bumiputera RM30 juta – Adly dedah apa jadi jika kembali mentadbir Melaka