Dokumen tahanan rumah Najib punyalah tidak teliti, Peguam Negara dedah kesilapan yang tak patut berlaku

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, menegur kesilapan ketara dalam dokumen mahkamah berkaitan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak yang menurutnya tidak sepatutnya berlaku sekiranya disediakan dengan teliti.

Beliau berkata, kecacatan dalam dokumen Perintah Pelepasan (Order of Discharge) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu telah menimbulkan masalah yang sepatutnya dapat dielakkan.

“Perkara ini tak patut berlaku jika pihak berkenaan teliti,” katanya, dipetik BH.

Menurutnya, kesilapan berkenaan sebagai ketara sehingga menimbulkan persoalan mengenai ketelitian pihak yang bertanggungjawab menyediakan dokumen rasmi kehakiman tersebut.

Antara kelemahan yang dipersoalkan termasuk penggunaan istilah, rujukan peruntukan undang-undang serta ketepatan kandungan dokumen berkaitan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.

Dokumen bertarikh 6 November 2026 itu dikeluarkan selepas Najib melunaskan denda RM50 juta dalam kes SRC International melalui dana yang dikumpulkan menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan Umno.

Menangguhkan

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kesan undang-undang Perintah Pelepasan berkenaan.

AGC menjelaskan bahawa penelitian diperlukan bagi menentukan kedudukan baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International serta implikasinya terhadap permulaan hukuman bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penangguhan itu bagaimanapun mendapat perhatian Istana Negara yang menegaskan perintah pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, adalah jelas dan tidak mempunyai sebarang kekaburan.

Menurut kenyataan Istana Negara pada 7 November lalu, semua syarat pengampunan bersyarat telah dipenuhi dan sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut menjurus kepada tindakan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.

AGC kemudiannya menegaskan bahawa pihaknya tidak mempertikaikan titah diraja, sebaliknya mahu memastikan pelaksanaan perintah mahkamah serta baki hukuman Najib menepati kehendak undang-undang.

Susulan kontroversi tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Mohd Dusuki segera menghadap Sultan Ibrahim bagi memperjelaskan persoalan perundangan yang timbul.

Mohd Dusuki bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya BH mengenai sesi menghadap Seri Paduka Baginda, manakala laporan berkenaan menyebut kemungkinan pertemuan berlangsung esok.

Terdahulu, Najib menerima pengampunan bersyarat pada 18 September 2026 yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Najib sebelum ini disabitkan atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta, dengan hukuman asal penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kemudian dikurangkan kepada enam tahun serta RM50 juta menerusi keputusan Lembaga Pengampunan pada 2024.

BACA JUGA Penyatuan ummah bukan penyatuan parti, Islam lebih besar daripada Umno dan Pas