Kelantan, Terengganu dijangka alami hujan lebat berterusan tiga hari
Kelantan dan Terengganu dijangka mengalami hujan lebat berterusan selama tiga hari sehingga Rabu ini, dengan beberapa daerah di kedua-dua negeri diletakkan di bawah amaran tahap buruk.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pada pukul 8.30 pagi ini memaklumkan, amaran itu berkuat kuasa sehingga 11 November.
Di Kelantan, lima daerah yang menerima amaran hujan berterusan tahap buruk ialah Bachok, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh.
Sementara itu, tujuh daerah di Terengganu yang turut berada pada tahap sama ialah Besut, Setiu, Dungun, Kemaman, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi beberapa daerah lain di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah sepanjang tempoh berkenaan.
Di Kelantan, kawasan yang berada pada tahap waspada melibatkan Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli, manakala Hulu Terengganu menjadi satu-satunya daerah dalam kategori tersebut di Terengganu.
Bagi Pahang, empat daerah yang dijangka menerima hujan berterusan ialah Kuantan, Pekan, Rompin dan Jerantut.
Amaran sama turut melibatkan Sabah, khususnya Kudat serta beberapa kawasan di Sandakan termasuk Paitan, Telupid, Labuk dan Sugut, Sandakan serta Kinabatangan.
Terdahulu, Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, menjelaskan bahawa analisis model ramalan cuaca menunjukkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara antara 9 hingga 11 November.
Keadaan tersebut berpotensi membawa hujan lebat berterusan terutama di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia dan bahagian timur Sabah sepanjang tempoh berkenaan.
Hujan lebat berpanjangan juga boleh meningkatkan risiko banjir terutama di kawasan rendah, berhampiran sungai dan lokasi yang mempunyai sistem saliran kurang baik.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan terlibat disaran meningkatkan kewaspadaan serta mengikuti perkembangan cuaca semasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638.
BACA JUGA Penyatuan ummah bukan penyatuan parti, Islam lebih besar daripada Umno dan Pas