Konsert The Weeknd: Zulkifli minta JAKIM semak dakwaan unsur pemujaan
Persembahan artis antarabangsa kembali mencetuskan perbahasan mengenai sensitiviti agama apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta meneliti dakwaan berkaitan unsur pemujaan dalam konsert The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, Islam secara tegas melarang sebarang bentuk pemujaan selain Allah SWT.
Beliau menegaskan semua pihak perlu memastikan persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, akhlak dan sensitiviti agama di Malaysia.
Menerusi kenyataan di media sosial, Zulkifli memaklumkan Bahagian Penyelidikan JAKIM sedang mengadakan perbincangan rapat dengan urus setia Garis Panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
Langkah itu bertujuan mengesahkan kesahihan dakwaan serta meneliti sama ada persembahan konsert berkenaan mematuhi syarat dan garis panduan yang ditetapkan.
Perhatian itu susulan kontroversi elemen visual persembahan The Weeknd yang menampilkan patung robot wanita gergasi berwarna keemasan di tengah pentas serta sekumpulan penari wanita berjubah merah dengan penutup kepala.
Elemen berkenaan mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial apabila ada pihak mengaitkannya dengan simbol ritual dan pemujaan, manakala sebahagian lain melihatnya sebagai sebahagian daripada konsep seni persembahan.
Berikutan beberapa tokoh masyarakat dan agama serta netizen meminta kerajaan agar lebih bertegas soal garis panduan konsert-konsert terutama yang melibatkan selebriti dari luar negara.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan masih memerlukan pengesahan pihak berkuasa dan belum boleh dianggap sebagai fakta bahawa konsert itu mengandungi unsur pemujaan.
Zulkifli menegaskan tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta sahih akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran terhadap syarat atau garis panduan persembahan artis luar negara.
“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta sahih akan diambil bagi memastikan setiap persembahan artis dalam dan luar negara sentiasa memelihara sensitiviti agama, budaya serta ketenteraman awam,” katanya.
Konsert After Hours Til Dawn Tour oleh penyanyi Kanada itu berlangsung selama dua malam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu.
Penganjur, Live Nation Malaysia sebelum ini menjangkakan kira-kira 130,000 penonton menghadiri kedua-dua persembahan berkenaan.
Perkembangan terbaharu itu membuka persoalan lebih besar mengenai garis pemisah antara kebebasan berkarya, konsep seni persembahan antarabangsa dan keperluan menghormati sensitiviti agama masyarakat Malaysia.
Kini perhatian tertumpu kepada hasil penelitian JAKIM dan PUSPAL, sama ada elemen persembahan yang dipertikaikan itu benar-benar melanggar garis panduan atau sekadar mencetuskan salah tafsir dalam kalangan penonton.
BACA JUGA Banjir Selangor: Anwar umum RM2,500 untuk setiap ketua isi rumah, bayar mulai esok!