Kanak- kanak berusia 8 tahun, antara tiga maut disambar petir ketika berteduh di Sepang

Hasrat tiga individu untuk berteduh selepas selesai membaiki sebuah kenderaan bertukar tragedi apabila mereka maut dipercayai akibat disambar petir ketika hujan lebat di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, hari ini.

Kejadian menyayat hati itu membabitkan tiga mangsa masing-masing berusia lapan, 18 dan 26 tahun.

Sementara itu, laporan Bernama menyebut, Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dipercayai berada di bawah sebatang pokok ketika kejadian berlaku.

Mereka dikatakan berteduh selepas selesai melakukan kerja membaiki sebuah kenderaan berhampiran lokasi kejadian.

Bagaimanapun, keadaan cuaca buruk dengan hujan lebat dan kejadian petir menyebabkan ketiga-tiga mereka dipercayai terkena panahan petir.

Kejadian itu turut mencetuskan perhatian orang ramai selepas beberapa rakaman video memaparkan tiga individu terbaring di lokasi kejadian tular di media sosial.

Rakaman berkenaan mengundang rasa sebak dan simpati pengguna media sosial yang tidak menyangka aktiviti berteduh ketika hujan boleh berakhir dengan tragedi sedemikian.

Norhizam berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi tujuan bedah siasat.

Tragedi itu sekali lagi mengingatkan orang ramai mengenai bahaya berlindung di bawah pokok ketika hujan disertai guruh dan petir.

Pokok yang tinggi dan terpencil berisiko menjadi laluan sambaran petir, sekali gus menjadikan kawasan di bawahnya bukan tempat perlindungan yang selamat ketika ribut petir.

Orang ramai dinasihatkan supaya segera mendapatkan perlindungan di dalam bangunan atau kenderaan bertutup sepenuhnya apabila berlaku ribut petir dan mengelakkan kawasan lapang, pokok serta struktur yang terdedah.

Dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, orang ramai juga perlu lebih peka terhadap amaran cuaca dan tidak mengambil mudah risiko petir, walaupun hujan kelihatan hanya berlaku dalam tempoh singkat.

BACA JUGA Konsert The Weeknd: Zulkifli minta JAKIM semak dakwaan unsur pemujaan