Peguam sokong tindakan Penjara Kajang teliti perintah mahkamah, dakwa ‘order of discharge Najib memang problematic’
Peguam, Asiah Abd Jalil memuji tindakan dan peranan dimainkan Penguasa Penjara Kajang yang tidak mengambil mudah perintah mahkamah berhubung pemindahan Datuk Seri Najib Razak ke kediamannya di Jalan Langgak Duta.
Beliau berkata, pihak penjara bertanggungjawab menyemak kesahihan dan kebolehkuatkuasaan perintah yang diterima dengan pihak mahkamah serta Jabatan Peguam Negara (AGC) terlebih dahulu, sama ada order of discharge yang diterima tersebut boleh dilaksanakan.
Menurutnya, tindakan menangguhkan pemindahan Najib selepas AGC meminta penjelasan lanjut daripada Mahkamah Tinggi menunjukkan kepentingan mematuhi prosedur undang-undang dan tatacara penjara.
“Saya memandang tinggi dan mengucapkan syabas kepada Penguasa Penjara Kajang kerana tidak mengambil remeh order of discharge yang diterima. Lebih-lebih lagi kes Najib Razak ini adalah kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian dunia.
“Apabila AGC berpendapat bahawa order of discharge tersebut memerlukan klarifikasi lanjut daripada Mahkamah Tinggi, maka Penguasa Penjara Kajang wajib mematuhi arahan AGC untuk menangguhkan pemindahan Najib Razak ke Penjara Jalan Langgak Duta,” katanya dalam perkongsian di Facebook.
Asiah mendakwa perintah order of discharge berkenaan mempunyai terlalu banyak kesalahan material sehingga pada pandangannya, dokumen itu cacat dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Beliau mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab menyediakan perintah berkenaan sehingga menimbulkan masalah dalam urusan melibatkan Najib.
“Setelah beberapa hari, kini ternyata order of discharge tersebut benar-benar sangat problematic. Terlalu banyak kesalahan material di dalamnya. Pendapat saya, order of discharge tersebut adalah defective dan tidak boleh dikuatkuasakan.
“Persoalan berikutnya yang kita tunggu, siapa punya angkara sebenarnya, yang menyediakan order of discharge sedemikian teruk? At the expense of Najib Razak,” tambahnya.
Beliau turut mempersoalkan kepatuhan terhadap prosedur dan tatacara penjara sekiranya perintah yang diterima tidak dapat dilaksanakan dengan jelas.
Asiah berkata, tindakan tidak melaksanakan perintah berkenaan secara terburu-buru penting bagi memastikan prosedur dipatuhi sebelum sebarang pemindahan dilakukan.
“Nasib baik Penguasa Penjara Kajang tidak menurutinya. Jika gagal mengawal Penjara Kajang dengan baik, bagaimana nanti nak mengawal Penjara Jalan Langgak Duta pula? Takkan semua prosedur dan tatacara nak dilanggar juga?”