Najib dibenar tahanan rumah, Anthony Loke pilih lepaskan kerusi Menteri
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memilih untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan yang disandangnya sejak Disember 2022 berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.
Menerusi kenyataan media hari ini, beliau menegaskan peletakan jawatan tersebut selaras dengan pendirian yang telah diumumkannya pada Jumaat lalu berhubung isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.
“Selaras dengan pendirian yang telah saya umumkan pada Jumaat lalu, peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
“Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang telah saya jelaskan sebelum ini,” tegas Ahli Parlimen Seremban berkenaan lagi.
Meneruskan tugas
Loke sebelum ini menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September lalu, namun diminta meneruskan tugas sementara menunggu perkembangan berkaitan tahanan rumah Najib.
Tindakan tersebut dibuat susulan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman di kediamannya walaupun parti itu menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta sehingga 23 Ogos 2028 berkaitan sabitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda RM50 juta bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu yang menetapkan Najib perlu meneruskan baki hukuman melalui tahanan rumah.
Keputusan itu bermakna pembayaran denda RM50 juta tidak membebaskan Najib daripada baki hukuman penjara dalam kes SRC International, sebaliknya mengubah tempat beliau menjalani hukuman tersebut.
Dalam pada itu, Loke merakamkan penghargaan kepada Anwar atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat sebagai anggota Jemaah Menteri sepanjang hampir empat tahun lalu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga Kementerian Pengangkutan atas komitmen dan kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Loke turut memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan tugas berjalan lancar tanpa menjejaskan pelaksanaan dasar serta inisiatif kementerian demi kepentingan rakyat.
BACA JUGA Pas parti tiada maruah – Baba Zul bidas pendirian politik demi selamatkan Najib