Hannah Yeoh gesa warga KL kembali ke pasar tradisional, peniaga tiga generasi perlu dibantu

FOTO BERITA: Walkabout Status Pelaksanaan Projek Lestari Niaga 2026 bersama YB Puan Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). Turut hadir YB Tuan Prabakaran Ahli Parlimen Batu dan YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud Datuk Bandar Kuala Lumpur di Pasar Batu 2 ½ Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. 10hb November 2026 (Selasa)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menggesa warga Kuala Lumpur kembali mengunjungi pasar tradisional yang dinaik taraf oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu peniaga tempatan berdepan persaingan perniagaan dalam talian.

Beliau berkata, pasar tradisional bukan sekadar tempat membeli barangan keperluan harian, malah menyimpan sejarah perniagaan keluarga yang diwarisi sejak dua hingga tiga generasi.

Menurutnya, perubahan corak pembelian pengguna yang semakin bergantung kepada platform dalam talian kini menjadi cabaran besar kepada kelangsungan perniagaan di pasar tradisional.

“Banyak peniaga di sini telah berniaga sejak dua atau tiga generasi lalu, jadi saya cadangkan penduduk Kuala Lumpur yang mempunyai masa supaya melawat pasar yang telah dinaik taraf oleh DBKL,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media status pelaksanaan Projek Lestari Niaga 2026 bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud di Pasar Batu 2½ Jalan Ipoh, hari ini

Hannah berkata, beliau memahami kesibukan masyarakat bandar yang menyebabkan sebahagian pengguna terpaksa bergantung kepada pembelian barangan dapur secara dalam talian.

Bagaimanapun, beliau berharap penduduk yang mempunyai kelapangan dapat kembali menyokong peniaga pasar tempatan supaya warisan perniagaan keluarga terus dipelihara.

Beliau turut memuji usaha DBKL mengetengahkan sejarah pasar dan kisah peniaga lama bagi membolehkan generasi muda mengenali warisan perniagaan di ibu negara.

Menurutnya, terdapat peniaga ayam di pasar berkenaan yang telah menjalankan perniagaan secara turun-temurun sehingga tiga generasi.
Dalam masa sama, Hannah melihat pasar tradisional yang dinaik taraf berpotensi menjadi tarikan pelancongan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia kerana menawarkan pengalaman kehidupan sebenar masyarakat tempatan.

Katanya, pelancong asing juga berminat mengunjungi lokasi yang mempunyai identiti tersendiri bagi melihat suasana perniagaan dan budaya masyarakat setempat.

Mengulas Projek Lestari Niaga, Hannah menjelaskan inisiatif berkenaan dimulakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan dasar kerajaan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Perdana Menteri telah banyak berpesan bahawa apa-apa dasar yang kita buat di Putrajaya mesti dirasai oleh penduduk di lapangan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan menaik taraf kemudahan perniagaan secara menyeluruh dan sistematik membolehkan DBKL melaksanakan pembangunan dengan lebih terancang berbanding memilih projek secara berasingan.

Menurutnya, kaedah itu turut memudahkan pegawai pelaksana memahami hala tuju pembangunan tanpa perlu berdepan masalah pemilihan lokasi atau campur tangan politik.

Hannah turut memberi jaminan bahawa projek Lestari Niaga yang tidak sempat disiapkan tahun ini akan diteruskan pada 2027 melalui peruntukan yang disediakan bagi memastikan usaha menaik taraf kemudahan peniaga tidak terhenti.