Najib pulang ke rumah, Anwar pula kongsi hadis ‘orang besar mencuri’

Ketika banduan Datuk Seri Najib Razak kembali ke kediamannya di Langgak Duta malam ini untuk menjalani tahanan rumah, Perdana Menteri pula menarik perhatian dengan perkongsian hadis Nabi Muhammad SAW mengenai keadilan terhadap golongan berkedudukan tinggi.

Hadis yang dikongsikan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengingatkan tentang kebinasaan umat terdahulu apabila golongan berpengaruh yang melakukan kesalahan dibiarkan, sedangkan golongan lemah dikenakan hukuman.

Menerusi hadis riwayat al-Bukhari (3475) daripada Aisyah RA itu, Rasulullah SAW menegaskan bahawa kedudukan seseorang tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengecualikannya daripada hukuman.

“Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu ialah apabila orang yang berkedudukan tinggi dalam kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya.

“Tetapi apabila orang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, mereka melaksanakan hukuman hudud ke atasnya,” menurut petikan hadis berkenaan yang dikongsikan Anwar malam ini.

Rasulullah SAW turut menegaskan prinsip keadilan tersebut dengan menyatakan bahawa jika puterinya sendiri, Fatimah binti Muhammad melakukan kesalahan mencuri, hukuman tetap akan dilaksanakan.

Serentak

Perkongsian hadis tersebut serentak dengan kepulangan Najib ke rumah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menjalani baki hukuman penjara kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan rumah.

Sekitar jam 9.27 malam tadi, Najib tiba di kediamannya dengan menaiki Proton X70 berwarna perak sambil diiringi beberapa kenderaan Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketibaan banduan itu turut menjadi tumpuan puluhan pengamal media tempatan dan antarabangsa yang menunggu sejak pagi bagi merakamkan detik kepulangan bekas Presiden Umno berkenaan.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aslam Zainuddin membatalkan perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu yang selaras dengan pengampunan bersyarat Najib.

Keputusan itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di rumah sehingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos bagi menjalani hukuman berkaitan kes 1MDB.

Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan telah melunaskan denda RM50 juta susulan pengampunan bersyarat berkaitan kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Najib sebelum ini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Walaupun Najib kini dibenarkan menjalani hukuman di rumah, sabitan jenayah terhadapnya tidak terhapus dan dia masih tertakluk kepada hukuman penjara mengikut perintah mahkamah.