Dulu kata boleh terus bekerja, kini Pas tamatkan khidmat Exco Bersatu di Kelantan
Selepas hampir lima bulan kerajaan Kelantan memberi jaminan wakil Bersatu boleh terus menjalankan tugas seperti biasa, kini Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Kamarudin Md Nor menerima surat penamatan pelantikannya sebagai Exco kerajaan negeri.
Kamarudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas mengesahkan menerima surat berkenaan hari ini, namun enggan mendedahkan kandungannya buat masa ini.
“Apa yang boleh saya sahkan ialah saya menerima surat itu hari ini tetapi saya tidak akan mendedahkan butirannya buat masa ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan akan mengadakan sidang media esok bagi menjelaskan perkara tersebut selain menyifatkan keputusan berkenaan tidak akan menjejaskan Bersatu.
Pada 9 Jun lalu, kerajaan Kelantan masih mempertahankan kedudukan Kamarudin sebagai Exco walaupun Pas sudah mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu.
Ketika itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menjelaskan bahawa keputusan memutuskan hubungan hanya melibatkan urusan antara parti dan bukan pentadbiran kerajaan negeri.
Fadzli turut memberi jaminan bahawa Kamarudin dan seorang lagi wakil Bersatu, Bahari Mohd Nor boleh meneruskan tugas masing-masing seperti biasa.
Malah pada 7 Oktober lalu, Fadzli sekali lagi mengesahkan kedudukan Kamarudin masih kekal kerana kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan berhubung pelantikannya.
Perubahan pendirian
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu malam ini memperlihatkan perubahan pendirian kerajaan negeri pimpinan Pas terhadap kedudukan pemimpin Bersatu berkenaan.
Kamarudin yang menerajui portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan sejak Ogos 2023 sebelum ini menyerahkan sepenuhnya nasib politiknya kepada Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau juga sudah menerajui Bersatu Kelantan sejak kira-kira 10 tahun lalu dan merupakan antara pemimpin parti itu yang masih mempunyai kedudukan dalam pentadbiran kerajaan negeri Pas.
Kemelut tercetus apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Mei lalu menyatakan parti itu akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa perbezaan dan isu dalaman.
Pada 8 Jun lalu, Pas akhirnya mengumumkan keputusan menamatkan semua kerjasama politik dengan Bersatu selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Keputusan itu turut menimbulkan persoalan sama ada wakil Bersatu yang masih memegang jawatan dalam kerajaan negeri pimpinan Pas akan menerima nasib serupa.
Menteri Besar Kelantan dijangka mengadakan sidang media khas esok bagi menjelaskan perkembangan tersebut, termasuk kedudukan Kamarudin dalam pentadbiran kerajaan negeri.
BACA JUGA Najib pulang ke rumah, Anwar pula kongsi hadis ‘orang besar mencuri’