Siapa hulur RM50 juta untuk Najib? AMK bimbang sumbangan jadi tiket dapat projek?

Umno digesa mendedahkan segera sumber kutipan RM50 juta yang digunakan bagi membayar denda bekas Perdana Menteri, Najib Razak, termasuk identiti penyumbang utama dan jumlah sumbangan masing-masing.

Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR (AMK) Malaysia, Danish Hairudin berkata, pendedahan itu perlu dibuat secara sukarela tanpa menunggu sebarang arahan atau permintaan daripada pihak berkuasa.

Katanya, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sendiri sudah menyatakan bahawa wang RM50 juta berkenaan dikumpulkan menerusi pendanaan awam, justeru parti itu wajar membuktikan kenyataan tersebut dengan mengemukakan rekod kutipan dan pembayaran secara terbuka.

“Jangan sekadar berkata sedia dedah. Dedahkan segera siapa penyumbang utama, berapa sumbangan mereka dan bentangkan penyata kutipan serta pembayaran,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Danish, ketelusan itu penting bagi menjawab pelbagai persoalan masyarakat mengenai sumber sebenar dana berkenaan, termasuk dakwaan yang mengaitkannya dengan tokoh korporat atau individu berkepentingan yang mempunyai hubungan rapat dengan Najib.

Beliau berkata, pendedahan secara terperinci dapat memastikan tiada pihak dikaitkan dengan sumbangan tersebut tanpa bukti, selain membolehkan orang ramai menilai sendiri ketelusan proses kutipan dana berkenaan.

Danish turut membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan wujud kepentingan tertentu di sebalik sumbangan berjumlah besar itu, khususnya jika penyumbang mengharapkan balasan sekiranya Umno terus menerajui Kerajaan Persekutuan.

Katanya, orang ramai berhak mendapat jaminan bahawa sumbangan berkenaan tidak disertai sebarang tuntutan balas dalam bentuk projek kerajaan, kontrak atau layanan istimewa.

“Rakyat juga mahukan jaminan bahawa sumbangan ini tidak datang dengan tuntutan balas sekiranya Umno terus menerajui Kerajaan Persekutuan.

“Jangan sampai penyumbang mengharapkan projek, kontrak atau layanan istimewa atas alasan pernah membantu. Di situlah mula timbul konflik kepentingan dan ruang salah guna kuasa,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sumbangan kepada seseorang individu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk memperoleh keistimewaan atau akses kepada kuasa kerajaan.

Menurutnya, prinsip pertanggungjawaban perlu berjalan seiring dengan keterbukaan kutipan dana, lebih-lebih lagi apabila jumlah yang dikumpulkan mencecah puluhan juta ringgit.

“Budi kepada individu jangan dibayar dengan kuasa kerajaan. Apabila kutipan dibuat secara terbuka, pertanggungjawabannya juga mesti terbuka,” katanya.

Kenyataan Danish itu meletakkan tekanan terhadap Umno supaya menjelaskan secara terperinci bagaimana RM50 juta berkenaan dikumpulkan, siapa yang menyumbang dan sama ada terdapat sebarang kepentingan yang mengiringi sumbangan tersebut.

Persoalan utama yang kini dibangkitkan bukan sekadar bagaimana denda Najib dibayar, tetapi sejauh mana ketelusan dapat dibuktikan apabila dana awam berjumlah begitu besar dikumpulkan untuk tujuan berkenaan.

BACA JUGA ‘Rasuah musuh keadilan’ – titah Raja-Raja Melayu kembali jadi perhatian susulan isu pengampunan Najib