Pengampunan tak padam sabitan SRC, apa jaminan Umno skandal 1MDB tak berulang?
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyuarakan kebimbangan apabila Datuk Seri Najib Razak yang disabitkan dalam kes SRC International kini diraikan oleh pemimpin Umno dan Pas seolah-olah pengampunan yang diterimanya merupakan satu kemenangan politik.
Beliau mempersoalkan sama ada Umno benar-benar mengambil iktibar daripada skandal SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), atau sekadar mahu kembali berkuasa tanpa menyelesaikan persoalan berkaitan budaya dan amalan politik masa lalu.
Mahfuz menegaskan bahawa pengampunan bersyarat terhadap Najib tidak memadamkan sabitan jenayahnya dalam kes SRC International, sebaliknya beliau hanya mendapat pengurangan hukuman dan dibenarkan menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah oleh Lembaga Pengampunan.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila bekas Presiden Umno yang disabitkan dalam kes rasuah dan salah guna kuasa kini diraikan oleh pemimpin UMNO, BN dan Pas-PN seolah-olah pengampunan itu satu kemenangan politik.
“Umno berhak menyokong bekas presidennya. Tetapi rakyat juga berhak bertanya. Apakah pengajaran yang telah diambil oleh Umno daripada skandal SRC dan 1MDB?,” soal beliau dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, hasrat Umno untuk kembali menguasai Putrajaya perlu dinilai berdasarkan rekod integriti parti itu, khususnya dalam memastikan sejarah penyalahgunaan kuasa dan skandal kewangan negara tidak berulang.
“Hari ini Umno bercita-cita kembali menguasai Putrajaya. Maka rakyat perlu bertanya apakah jaminan bahawa sejarah penyalahgunaan kuasa dan skandal kewangan negara tidak akan berulang?
“Rakyat tidak boleh membiarkan pengampunan disalahertikan sebagai penghapusan kesalahan. Jangan sampai orang yang pernah disabitkan kesalahan jenayah diraikan sebagai wira, sedangkan rakyat yang bekerja keras membayar harga akibat kerosakan tadbir urus,” tambahnya.
Pada masa sama Mahfuz berkata, beliau menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, namun ia tidak bermaksud rakyat perlu melupakan jenayah rasuah dilakukan Najib yang telah pun diputuskan oleh mahkamah.
Beliau turut mengingatkan bahawa penghormatan terhadap kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong tidak bermaksud rakyat perlu melupakan kesalahan yang telah diputuskan oleh mahkamah.
“Saya ingin tegaskan, kita menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong. Tetapi menghormati pengampunan tidak bermakna kita mesti melupakan kesalahan yang telah diputuskan oleh mahkamah.
“Jangan sampai Malaysia menjadi negara yang menghukum perasuah di mahkamah, tetapi meraikannya di pentas politik,” ujarnya.