Dari BMF ke 1MDB, Gen Z mesti bangkit lawan rasuah
Skandal 1MDB yang menggemparkan negara bukan muncul secara tiba-tiba, sebaliknya menjadi kemuncak jenayah rasuah dan politik wang yang gagal dibendung sejak era 1980-an, ketika generasi pemimpin lama masih menguasai politik Malaysia.
Aktivis dan wartawan veteran, Fathi Aris Omar menyifatkan kegagalan generasi terdahulu menentang penyelewengan sebagai pengajaran besar kepada anak muda yang kini terpaksa menanggung akibat kerosakan sistem selama berdekad-dekad.
Bekas Ketua Pengarang Malaysiakini itu menegaskan, generasi Z (Gen Z) mesti berani memutuskan rantaian rasuah tersebut dan tidak mengulangi kesilapan generasi terdahulu yang membiarkan penyelewengan terus berleluasa.
Beliau mengimbas bagaimana skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) bernilai RM2.5 bilion pada era 1980-an menjadi antara contoh awal kegagalan membendung penyelewengan sehingga negara akhirnya berdepan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Fathi, budaya politik wang dan kekebalan golongan berkuasa yang berkembang sejak pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad membuka ruang kepada kerosakan lebih besar pada era pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.
Kegagalan
Beliau turut merujuk wang RM2.38 bilion yang memasuki akaun Najib sebagai gambaran betapa seriusnya kerosakan yang menurutnya berpunca daripada kegagalan membanteras rasuah sejak puluhan tahun lalu.
Lebih mengecewakan, Fathi mempersoalkan sebahagian tokoh generasi lama yang kini lantang bercakap mengenai rasuah, sedangkan mereka didakwanya tidak cukup berani melawan budaya tersebut ketika mempunyai pengaruh dan kedudukan.
Beliau menyebut bekas editor seperti Datuk A Kadir Jasin dan Tan Sri Nordin Kardi dalam kritikannya terhadap generasi lama, sambil menjelaskan bahawa teguran itu bukan serangan peribadi tetapi peringatan supaya sejarah tidak dilupakan.
Sebaliknya, Fathi mengangkat Profesor Edmund Terence Gomez sebagai contoh sarjana yang konsisten membongkar hubungan antara politik, perniagaan dan rasuah melalui penyelidikan sejak 1980-an.
Antara karya Gomez yang diketengahkannya ialah Politics in Business: Umno’s Corporate Investments (1990) dan Misgovernance: Grand Corruption in Malaysia (2024), yang menurut Fathi wajar diteliti oleh generasi muda.
Fathi turut mengingatkan bahawa perjuangan menentang rasuah tidak boleh bergantung kepada pemimpin politik yang dianggap suci.
Baginya, rakyat yang terlalu sibuk mempertahankan pemimpin pujaan dan mempertikaikan siapa paling bersih akhirnya hanya membuang masa, sedangkan golongan elit terus mendapat manfaat daripada kelemahan sistem.
Beliau juga membangkitkan pengurangan hukuman penjara dan denda Najib serta perkembangan berkaitan tahanan rumah sebagai antara perkara yang menimbulkan persoalan baharu mengenai keberkesanan perjuangan antirasuah.
“Jika Gen Z dan kau yang masih muda-muda ini, dari usia 18 hingga 45 tahun, tidak melawan sekarang, Malaysia akan lebih parah,” tegas Fathi dalam tulisannya.
Justeru, beliau menggesa generasi muda supaya berhenti sekadar mengeluh di media sosial, sebaliknya memahami sejarah penyelewengan negara dan membina gerakan antirasuah yang tidak bergantung kepada tokoh politik lama.
BACA JUGA Daripada sibuk tuduh Anthony Loke, lebih baik Umno minta ampun dekat Tuanku Muhriz