Nik Abduh kongsi hukum derma untuk Najib tapi Mufti Wilayah letak syarat mesti insaf

Senator Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dilihat gigih mempertahankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah terbukti bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd sehingga disumbat ke penjara.

Terbaharu, Nik Abduh tergamak berkongsikan pautan penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai kutipan derma untuk membayar denda, ketika beliau terus mempertahankan bantuan RM50 juta kepada Najib.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas dan Bachok itu menerusi Facebook beliau turut memuat naik kapsyen ringkas, “Mohon ceplos baca. Kalau rajin laa..”.

Bagaimanapun, penjelasan bertajuk Al-Kafi #2012: Hukum Pengutipan Derma Bagi Tujuan Pembayaran Denda yang diterbitkan pada 28 Disember 2024 itu sebenarnya menetapkan syarat tertentu sebelum seseorang boleh membantu membayar denda individu yang melakukan kesalahan.

Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, hukum asal membantu seseorang membayar denda atau saman adalah harus selagi sumbangan tersebut tidak bertujuan menggalakkan perbuatan salah.

Namun, syarat pertama yang digariskan ialah individu yang menerima bantuan berkenaan mestilah telah menginsafi kesalahannya supaya sumbangan itu tidak menyebabkan dia memandang ringan perbuatan tersebut.

Syarat kedua pula menetapkan bahawa sumbangan hendaklah diberikan bagi tujuan membantu pembayaran ganti rugi dan bukannya sebagai tanda menyokong kesalahan yang dilakukan.

Malah, penjelasan itu turut menegaskan bahawa bantuan menjadi haram sekiranya pemberi sumbangan sengaja bertujuan menggalakkan pelaku mengulangi kesalahannya.

Saman fitnah

Tidak harus diketepikan juga penjelasan Mufti Wilayah itu asalnya menjawab soalan mengenai kutipan derma untuk membayar saman fitnah, bukannya fatwa khusus berkaitan Najib atau kes SRC International.

Justeru, perkongsian Nik Abduh dalam konteks Najib menjentik persoalan sama ada syarat keinsafan itu turut diambil kira.

Ini kerana Nik Abduh sebelum ini secara terbuka menyifatkan tindakan umat Islam membantu membayar RM50 juta bagi pihak Najib sebagai amalan berpahala dan bukannya menyokong penyelewengan.

“Muslim bantu bayar RM50 juta untuk DSNR adalah berpahala. Ia bukan sokong sakau. Ia menyokong sistem pengampunan Agong yang diakui syarak,” katanya dalam hantaran terdahulu.

Ekoran itu, orang ramai dilihat mempersoalkan mengapa Nik Abduh begitu tegar mempertahankan bantuan kepada Najib.

Antara pengguna Facebook, Mohd Safuan yang membangkitkan persoalan sama ada Najib sudah menginsafi kesalahannya, manakala Shah Qhaliff meminta Nik Abduh lebih memberikan perhatian kepada isu rakyat dan negeri.

BACA JUGA Dari BMF ke 1MDB, Gen Z mesti bangkit lawan rasuah