Dulu doa Umno hancur, kini Nik Abduh kata ayahandanya doa perpaduan Melayu 1,000 kali lebih banyak
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa arwah ayahandanya lebih banyak mendoakan kesatuan Islam dan Melayu berbanding kehancuran Umno.
Kenyataan Nik Abduh itu mengundang kecaman dan sindiran warganet terhadap perubahan hubungan politik antara Pas dengan Umno.
Anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu mendakwa doa ayahandanya untuk perpaduan umat Islam dan Melayu adalah 1,000 kali lebih banyak berbanding doa yang dikaitkan dengan kehancuran Umno.
“Ceplos marah saya dan kata ATG ayahanda doa kehancuran Umno.
“Saya kata, doanya untuk kesatuan Islam dan Melayu 1000x lebih banyak,” tulisnya menerusi satu hantaran Facebook hari ini.
Bagaimanapun, rata-rata pengguna media sosial mengungkit kembali sejarah pertentangan Pas dengan Umno, termasuk pendirian arwah Nik Aziz yang istiqamah mengkritik keras parti berteraskan kaum itu.
Pengguna Facebook, Nabeel Nadz, secara sinis menyifatkan Nik Abduh mempergunakan agama dan nama arwah ayahandanya, manakala Usamah Zayid pula sekadar membalas, “Ceplos Pas ke.”
Netizen lain pula mengingatkan bahawa perpaduan Islam dan Melayu tidak seharusnya dikaitkan dengan Umno semata-mata kerana orang Melayu turut berada dalam parti politik lain.
“Kesatuan Islam dan Melayu bukan dengan Umno je… PKR ada Melayu. AMANAH ada Melayu. DAP pun ada Melayu,” kata warganet.
Waktu bercinta
Sementara itu, Syed Mohd Nazli Jamalullail, mempersoalkan sama ada perubahan pendirian terhadap Umno yang dikaitkan dengan arwah Nik Aziz menunjukkan sifat tidak konsisten dalam perjuangan politik.
Bagi Khairul Kamilin pula secara sinis berkata, hubungan politik Pas dengan Umno kini kelihatan semakin rapat, sedangkan kedua-dua parti pernah menjadi musuh politik.
“Waktu-waktu bercinta ni tak pelik pun bila tengok orang Pas lebih Umno dari Umno sendiri,” tulisnya sambil membandingkan keadaan itu dengan kerjasama Umno dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.
Untuk rekod, pada November 2012, Pas pernah mencetuskan kontroversi apabila doa memohon kehancuran Umno dan Barisan Nasional (BN) dibacakan dalam program solat hajat sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Doa tersebut dipimpin oleh Nik Razi Nik Mat, adik kepada arwah Nik Aziz, yang ketika itu memohon supaya Umno dan BN ditewaskan dalam pilihan raya atas lantaran dianggap melakukan kezaliman terhadap Islam, rakyat serta Kelantan.
Allahyarham Nik Aziz yang ketika itu merupakan Mursyidul Am Pas turut mempertahankan doa berkenaan dengan alasan bahawa tindakan mendoakan kejatuhan pihak yang dianggap melakukan kezaliman tidak bercanggah dengan pendiriannya.