Kes Altantuya belum berakhir? Mongolia kini desak Putrajaya beri jawapan
Hampir 20 tahun selepas pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, kerajaan negara itu sekali lagi meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Malaysia dengan menuntut penjelasan mengenai perkembangan kes berkenaan serta kerjasama pihak berkuasa dalam memastikan keadilan kepada keluarganya.
Terbaharu memetik laporan portal FMT, Kementerian Luar Mongolia menghantar nota diplomatik atau démarche kepada Malaysia pada 10 November lalu bagi mendapatkan maklum balas rasmi Putrajaya berhubung prosiding undang-undang dan beberapa permintaan kerajaan Mongolia berkaitan kes berkenaan.
Utusan khas Mongolia bagi kes Altantuya, Zandanshatar Gombojav berkata, nota itu telah diserahkan kepada duta Malaysia di Bangkok dan Beijing.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Januari lalu yang memutuskan kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap tindakan dua bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, dalam pembunuhan Altantuya.
Mongolia meminta Malaysia memberikan perhatian terhadap cabaran bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, terhadap keputusan berkenaan.
Gombojav berkata kerajaan Mongolia kesal dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu, sambil berpandangan sekiranya pegawai kerajaan dan anggota polis terlibat dalam kes berkenaan, kerajaan Malaysia sepatutnya turut dipertanggungjawabkan pada tahap tertentu.
Menurutnya, pendirian Mongolia adalah bahawa persoalan mengenai tanggungjawab pihak berkuasa perlu terus diberikan perhatian dan tidak seharusnya terhenti setakat keputusan mahkamah berkenaan.
Dalam keputusan sama, Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kepada keluarga Altantuya daripada RM5 juta kepada RM1.38 juta dalam saman sivil terhadap penganalisis politik Abdul Razak Baginda, Sirul dan Azilah berkaitan kematian wanita itu pada 2006.
Selain mencabar keputusan mahkamah, Mongolia turut meminta Sirul, yang kini menetap di Australia selepas meninggalkan Malaysia pada 2014, memberikan keterangan dalam prosiding sivil berkenaan.
Nota diplomatik itu juga menggesa supaya sebarang bukti baharu atau bahan yang belum diperiksa sebelum ini diteliti dengan segera, selain meminta perkembangan terkini disampaikan kepada keluarga Altantuya menerusi peguam mereka.
Gombojav, yang juga bekas Perdana Menteri Mongolia, berkata negaranya akan terus membangkitkan perkara itu di peringkat antarabangsa, termasuk melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kemungkinan saluran Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Bagaimanapun, beliau menegaskan Mongolia tetap menghormati kedaulatan Malaysia dan mahu isu itu diselesaikan menerusi saluran diplomatik serta undang-undang.
Kerajaan Mongolia kini menunggu maklum balas rasmi Putrajaya dan berharap pertemuan dengan pegawai Malaysia dapat diadakan bagi membincangkan permintaan berkenaan. Gombojav bagaimanapun tidak mengesahkan sebarang pertemuan telah dijadualkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Tinggi pada 16 Oktober 2025 membenarkan Shaariibuu meneruskan semakan kehakiman bagi mendapatkan tindakan polis terhadap afidavit tambahan dan akuan berkanun yang dibuat Azilah. Pada 6 Oktober lalu, pendengaran kes itu ditangguhkan ke 12 Januari 2027.
Permohonan tersebut antara usaha keluarga Altantuya untuk mendapatkan siasatan lanjut terhadap dakwaan yang terkandung dalam dokumen berkenaan, sekali gus menjadikan kes pembunuhan itu terus menjadi perhatian hampir dua dekad selepas kejadian.
BACA JUGA Langgar syarat, Najib terus balik ke penjara KajangÂ