Apa sebenarnya dalam minit pengampunan Najib? Fahmi kata proses dedah dokumen sedang diatur
Persoalan mengenai apa sebenarnya yang terkandung dalam minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung Datuk Seri Najib Razak mungkin mendapat penjelasan sekiranya usaha kerajaan menyahklasifikasikan dokumen berkenaan berjaya dilaksanakan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengesahkan proses menyahklasifikasikan dokumen berkenaan sedang diatur, namun tertakluk kepada beberapa keperluan perundangan yang mesti dipatuhi.
Menurut Menteri Komunikasi itu, perkara berkenaan tidak dibangkitkan secara langsung dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
“Tidak dibangkitkan secara langsung tetapi memang proses itu saya difahamkan sedang diatur mengambil kira beberapa aspek perundangan yang perlu dipatuhi.
“Memang hasrat itu ada dan akan melalui proses yang wajib,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.
Penjelasan Fahmi itu menyusul kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semalam bahawa beliau bersedia membawa cadangan menyahklasifikasikan minit mesyuarat berkenaan untuk pertimbangan Kabinet.
Cadangan itu pada asalnya dikemukakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mahu dokumen tersebut didedahkan bagi memberikan gambaran lebih jelas mengenai proses pertimbangan pengampunan Najib.
Syed Saddiq membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat ketika isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri berkenaan terus menjadi polemik, termasuk persoalan mengenai keputusan Lembaga Pengampunan dan pihak yang terlibat dalam proses berkenaan.
Saifuddin ketika menjawab pertanyaan tersebut menjelaskan urusan menyahklasifikasikan dokumen itu berada dalam bidang kuasa dan tanggungjawab Peguam Negara, namun beliau tidak mempunyai halangan untuk membawa cadangan berkenaan kepada Jemaah Menteri.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut menyuarakan pendirian supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan didedahkan kepada umum, sambil menjelaskan hasrat itu telah disampaikan kepada Anwar.
Gesaan tersebut muncul susulan kontroversi pengampunan bersyarat Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International melalui tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan bahawa dokumen berkenaan telah dinyahklasifikasikan atau keputusan dibuat untuk mendedahkan kandungannya kepada orang ramai.
Sekiranya dokumen itu akhirnya dibuka kepada umum, kandungannya dijangka menjadi tumpuan dalam usaha memahami proses pertimbangan yang membawa kepada keputusan pengampunan Najib, selain menjawab persoalan ketelusan yang dibangkitkan pelbagai pihak.
BACA JUGA Adly terus cabar BN buktikan dakwaan 97 peratus manifesto telah dilaksana