AMK : Ucapan Hadi semarakan sentimen kebencian, bagaimana MCA, Gerakan?

Kenyataan yang membandingkan tahap kezaliman seseorang berdasarkan agama mencetuskan teguran daripada Angkatan Muda KEADILAN (AMK) yang menyifatkannya sebagai pandangan ekstrem dan bercanggah dengan prinsip keadilan dalam Islam.

Dalam kenyataan media AMK mengecam kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bahawa sejahat-jahat orang Islam yang memerintah tidak akan sezalim orang bukan Islam.

Menurut AMK, kenyataan itu berpotensi menyemarakkan sentimen kebencian serta memecahbelahkan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan kepercayaan.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pemimpin politik yang mempunyai latar belakang pendidikan agama sepatutnya menggunakan kedudukan mereka untuk memupuk kefahaman Islam berteraskan keadilan, kebijaksanaan dan kemuliaan akhlak.

Sebaliknya, beliau berpandangan, kedudukan agama seseorang tidak boleh dijadikan ukuran mutlak untuk menentukan baik atau buruk seseorang, apatah lagi sehingga perbuatan zalim seolah-olah diberikan penilaian berbeza berdasarkan kepercayaan pelakunya.

“Islam tidak pernah memberikan kekebalan moral kepada mana-mana individu hanya kerana identiti agamanya,” tegas Muhammad Kamil dalam kenyataan tersebut.

AMK turut mengingatkan bahawa keadilan dalam Islam wajib ditegakkan tanpa mengira bangsa, keturunan, agama atau kedudukan seseorang.

Bagi menyokong pendirian itu, Muhammad Kamil merujuk Surah al-Ma’idah ayat 8 yang mengingatkan umat Islam supaya tidak membiarkan kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong mereka berlaku tidak adil.

Beliau juga mengemukakan peristiwa hijrah sebahagian sahabat Nabi Muhammad SAW ke Habsyah ketika umat Islam berdepan penindasan di Makkah.

Dalam kenyataan itu, AMK menjelaskan bahawa Rasulullah SAW mengarahkan sebahagian sahabat mendapatkan perlindungan daripada Raja Najasyi, seorang pemerintah beragama Kristian yang dikenali kerana sifat adilnya.

Peristiwa berkenaan, menurut AMK, membuktikan bahawa keadilan dan kemuliaan akhlak tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan identiti agama seseorang.

Dalam kenyataan sama, AMK mempersoalkan pendirian Pas berhubung kerjasama politik dengan parti bukan Islam, khususnya MCA dan Gerakan yang menjadi rakan politik parti itu.

“Apakah pandangan sedemikian turut terpakai kepada pemimpin MCA dan Gerakan yang menjadi rakan politik Pas? Atau prinsip berkenaan hanya digunakan apabila berhadapan dengan pihak yang berbeza pendirian politik?” soal Muhammad Kamil dalam kenyataan itu.

AMK berkata pemimpin politik mempunyai tanggungjawab moral untuk memelihara keharmonian masyarakat dan tidak sepatutnya menggunakan perbezaan politik sebagai alasan menyemai prasangka terhadap penganut agama lain.

Menurut kenyataan itu, Islam membawa prinsip membebaskan manusia daripada kezaliman, bukannya memberikan justifikasi kepada perbuatan tersebut atas nama agama.

“Keimanan seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk meremehkan salah laku, penindasan atau pengkhianatan terhadap amanah yang dipikulnya,” tegas Muhammad Kamil.

Sehubungan itu, AMK mendesak Abdul Hadi memberikan penjelasan secara terbuka dan menarik balik kenyataan berkenaan bagi mengelakkan masyarakat terus dikelirukan mengenai prinsip keadilan dalam Islam.

AMK turut menegaskan bahawa Malaysia perlu terus dibina atas asas saling menghormati, keluhuran Perlembagaan dan jaminan kebebasan beragama kepada seluruh rakyat.

“Keadilan tidak mengenal warna kulit, keturunan atau agama si pelaku. Kezaliman tetap wajib ditentang, sekalipun dilakukan oleh mereka yang sebangsa, seagama atau sehaluan politik dengan kita,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Ketua AMK itu.

BACA JUGA Apa sebenarnya dalam minit pengampunan Najib? Fahmi kata proses dedah dokumen sedang diatur