BN menang tipis di lima kerusi pada 2021, mampukah PH ubah peta politik Melaka?
Disebalik ramalan yang dibuat oleh Ilham Centre, usaha perlu diteruskan menjelang waktu mengundi jam 8 pagi esok.
Perjuangan tidak hanya bersandarkan kepada ramalan dan kajian tetapi usaha tanpa mengenal lelah adalah kunci yang dipegang sejak puluhan tahun lalu.
Menjelang waktu mengundi esok, lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah dikuasai Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kini kembali menjadi perhatian menjelang pengundian esok apabila rekod menunjukkan Barisan Nasional (BN) hanya memenangi kesemuanya dengan majoriti kurang 1,000 undi pada 2021.
Kerusi terbabit ialah Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal dan Kelebang yang menyaksikan kemenangan BN dengan majoriti masing-masing 860, 559, 938, 559 dan 876 undi, sekali gus memperlihatkan betapa kecilnya perbezaan sokongan antara calon yang bertanding ketika itu.
Walaupun BN berjaya menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka pada 2021 berbanding PH lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi, undi popular yang diperoleh BN sebenarnya hanya 38.39 peratus berbanding PH sebanyak 35.80 peratus.
Di Rembia, pertandingan kali ini melibatkan calon PH, Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan yang berdepan Ahmad Norazril Abd Aziz daripada BN serta Muhamed Aman Akil Abdul Talib mewakili Parti Bersama, dengan perubahan calon dan persaingan tiga penjuru menjadi antara faktor yang perlu diperhatikan.
Gadek pula mempertemukan calon PH daripada DAP, K. Jegasilan dengan S. Nadarajah daripada BN-MIC, selain dua calon lain, dalam pertandingan empat penjuru di kerusi yang pernah dimenangi PH pada 2018 sebelum bertukar tangan dengan majoriti hanya 559 undi pada 2021.
Di Machap Jaya, PH mempertaruhkan semula Ginie Lim Siew Lin yang pernah memenangi kerusi berkenaan pada 2018, manakala penyandang daripada MCA, Ngwe Hee Sem mempertahankan rekod kemenangan BN pada 2021 dalam pertandingan yang turut disertai calon Parti Bersama.
Durian Tunggal turut menjadi tumpuan apabila BN menggantikan penyandang, Zahari Abd Kalil dengan Mustafa Musa yang berdepan Pengerusi Amanah Melaka, Ashraf Mukhlis Minghat, sementara laporan media menyebut terdapat ketidakpuasan hati terhadap pertukaran calon tersebut yang menurut pihak BN sudah diselesaikan.
Di Kelebang, calon muda PH, Farzana Hayani Mohd Nasir berdepan penyandang daripada MCA, Lim Ban Hong serta calon Bersatu dan Parti Bersama, menjadikan persaingan empat penjuru itu ujian terhadap sokongan kepada penyandang dan penerimaan pengundi terhadap calon baharu.
Bagaimanapun, keputusan 2021 tidak boleh dipindahkan secara langsung kepada pilihan raya kali ini kerana kerjasama BN–PN, pertandingan berasingan Bersatu, kehadiran Parti Bersama dan pertambahan pengundi berdaftar berpotensi mengubah corak pertandingan berbanding pilihan raya terdahulu.
Dengan sejarah kelima-lima kerusi pernah bertukar tangan antara 2018 dan 2021, keputusan pada 14 November akan memperlihatkan bagaimana pengundi menilai rekod wakil rakyat, calon yang diketengahkan, isu setempat serta tawaran pembangunan oleh gabungan politik yang bertanding.
BACA JUGA Esok mengundi, projek ‘gajah putih’ menghantui rakyat Melaka