Pengundi seawal 7.30 pagi di SK Jalan Datuk Palembang, warga emas mahu kerajaan adil bantu rakyat

FOTO BERITA: Suasana hari membuang undi bagi N.17 Bukit Katil di Pusat Mengundi SK Jalan Datuk Palembang, Bukit Katil Melaka.14hb November 2026 (Sabtu)

Suasana pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Datuk Palembang, Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Bukit Katil, bermula dengan kehadiran pengundi yang keluar seawal pagi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Tinjauan Harapan Daily menerusi siaran langsung Facebook pagi ini mendapati pengundi daripada pelbagai peringkat usia hadir untuk membuang undi, termasuk golongan muda, pekerja syif malam dan warga emas.

Seorang pengundi Norafika Omar, melahirkan rasa gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali kedua meskipun baru selesai bekerja pada syif malam.

“Saya rasa sangat gembira, saya datang selepas kerja malam,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuang undi.

Bagaimanapun, perhatian turut tertumpu kepada seorang warga emas berusia 70 tahun, Yusof Taib, yang keluar dari rumah seawal jam 6.30 pagi sebelum menuju ke pusat mengundi berkenaan.

Yusof yang sudah mengundi sejak sebelum era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri berkata, semangatnya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tidak pernah luntur.


Menurutnya, pengundi khususnya generasi muda bebas menentukan pilihan masing-masing tanpa perlu dipaksa menyokong mana-mana pihak.

“Kalau nak pilih pemimpin, datanglah keluar mengundi, pilihlah yang mana suka, itu terpulang pada diri masing-masing,” katanya.

Ketika ditanya mengenai harapannya terhadap pentadbiran Melaka selepas pilihan raya, Yusof menegaskan kerajaan yang dibentuk perlu berlaku adil dan membantu semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Kerajaan yang ada, biarlah pentadbiran itu adil membantu rakyat, itu yang harapan saya, tak kira apa fahaman politik orang itu,” katanya.

Yusof turut berkongsi pengalaman pernah berdepan sikap pilih kasih berdasarkan kecenderungan politik, sambil mengingatkan pemimpin supaya tidak membezakan rakyat antara penyokong sendiri dengan pihak lain.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Bukit Katil dijadualkan hadir membuang undi di pusat mengundi sama sekitar jam 9 hingga 9.30 pagi, menurut maklumat yang diterima petugas Harapan Daily ketika siaran langsung berkenaan.

Proses pengundian di SK Jalan Datuk Palembang terus menjadi tumpuan apabila pengundi hadir untuk menentukan wakil rakyat yang bakal mewakili kawasan Bukit Katil bagi penggal baharu.