Main isu kaum, tapi rasuah tutup mata? Anwar dedah perangai parti yang konon perjuangkan bangsa

Perjuangan membela kepentingan kaum tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menutup kegiatan rasuah, penipuan dan penyalahgunaan kuasa, sebaliknya keadilan serta kesejahteraan seluruh rakyat perlu menjadi asas kepada pembinaan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat parti politik dan persatuan yang menjadikan isu kepentingan kaum sebagai naratif perjuangan, sedangkan pada masa sama gagal memberikan perhatian terhadap kegiatan rasuah dan penipuan.

Menurutnya, prinsip pentadbiran negara perlu berasaskan jaminan hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, selain memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama.

“Negara ini tertegak dengan prinsip yang mesti aman, mesti jayakan hak semua rakyat Malaysia.

“Ini mesej penting kerana naratif sekarang ialah kalau pergi mana-mana, orang kata Anwar, ‘you must adjust, the policies mesti Malay dominant’. Saya jawab, ‘I want to survive as leader to the country’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Deepavali 2026 Peringkat Kebangsaan di Little India, Brickfields, hari ini.

Anwar menegaskan, jaminan terhadap kedudukan Bahasa Melayu dan hak orang Islam tidak bermakna hak kaum lain boleh diketepikan dalam membina sebuah negara yang adil.

“Tiada siapa pertikai Bahasa Melayu, hak orang Islam. Kita mesti jamin semua kaum, setiap rakyat Malaysia.

“Negara ini punya kekuatan dan khazanah yang banyak. Negara ini patut memakmurkan rakyatnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar membangkitkan sikap pihak tertentu yang didakwanya sengaja memainkan sentimen perkauman bagi mengalihkan perhatian masyarakat daripada isu penyelewengan dan rasuah.

Menurutnya, perjuangan yang kononnya berasaskan kepentingan kaum boleh disalahgunakan untuk melindungi kegiatan tidak bermoral serta kepentingan peribadi.

“Sesetengah kalangan, persatuan atau parti hanya mencungkil isu kaum untuk padam isu rasuah.

“Dia bincang survival kepentingan kaum, dia padam isu penipuan dan rasuah. Dia bangkitkan isu kaum, dalam masa sama, dia perdayakan,” katanya.

Lebih keras, Anwar turut mempersoalkan motif sesetengah tokoh yang sering bercakap mengenai kelangsungan hidup sesuatu kaum, tetapi pada masa sama memiliki kekayaan besar.

“Lihat tokoh yang bicara soal survival kaum, mereka itu antara yang paling kaya dalam kalangan kita.

“Perjuangan itu perjuangan untuk memperkaya diri dan keluarga mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya terus tabah mempertahankan kebenaran meskipun berdepan pelbagai cabaran dan tekanan.

Beliau berkata, kehidupan mempunyai pasang surut, namun keyakinan terhadap perjuangan yang benar perlu terus dipertahankan.

“Hidup ini ada pasang surutnya, tapi stay strong, kerana akhirnya kemenangan itu berada di pihak yang benar,” katanya.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang serta Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk Seri N Gobalakhrisnan.

BACA JUGA Dari pedalaman Kinabatangan ke Seri Perdana, 11 murid asnaf buktikan kejayaan tiada sempadan